Jangan jadi hakim di Media Sosial, kata Exco Kerajaan Pas Kedah

Jangan jadi hakim di Media Sosial, kata Exco Kerajaan Pas Kedah

Kes rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah merekodkan wang tunai dan aset nilai RM8.1 juta.

Ianya melibatkan penahanan seramai 44 individu dan 33 kertas siasatan dibuka di mana 26 orang daripadanya adalah merupakan kalangan penjawat awam setakat rekod suku pertama 2021.

Demikian itu usaha bersama seluruh rakyat untuk turut menangani barah ini mesti disepadukan sekurang-kurangnya menerusi aduan rasmi dengan bukti kepada pihak berwajib bagi mengambil tindakan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Siti Ashah Ghazali bagaimanapun menasihatkan, rakyat mesti mengelak ‘menjatuhkan hukuman’ sendiri tanpa siasatan dan perbicaraan selayaknya kepada suspek.

“Siasatan mesti melalui prosedurnya diikuti perbicaraan dan pembelaan oleh peguam di hadapan hakim di mahkamah. Jangan jadikan media sosial sebagai mahkamah terbuka, tiada tauliah dan hikmah di situ.

“Sebaliknya, menghakimi di media sosial adalah gejala yang sangat mudah membawa kepada fitnah dan permusuhan seterusnya penganiayaan kepada mereka yang tidak bersalah.

“Netizen juga wajib mengelak juga membuat tuduhan serkap jarang atau andaian atau tanpa mengemukakan keterangan atau kesaksian yang benar dan jelas. Jangan jadikan mereka yang tidak bersalah sebagai mangsa salah sangka.

“Dalam setiap syak atau keraguan, ia mesti diselesaikan dengan kepastian. Ini akhlak diajar dalam Islam,” ujar beliau yang juga ADUN Merbau Pulas.

Siti Ashah mengulas tuduhan netizen di media sosial ke atas para Penghulu yang didakwa tidak membuat agihan bantuan kebajikan dengan betul berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ekoran tohmahan tanpa asas yang turut dipalitkan terhadap para Ketua Kampung itu, laporan polis telah dibuat Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Jamani Jamaludin.

Muat naik berunsur fitnah dan kecaman di laman Facebook ‘Kedah Dihatiku’ pada jam 11:21 malam Sabtu lalu itu direkodkan dalam aduan yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini semalam.

Jamani yang juga Penghulu Pengkalan Kundur memaklumkan, laporan sama akan dibuat oleh semua penghulu dari seluruh mukim dalam negeri Kedah, selain akan dipanjangkan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Terdahulu, turut menjadi mangsa tuduhan netizen di media sosial adalah dakwaan kononnya guru besar di sekolah-sekolah negeri ini telah menyeleweng duit zakat pelajar hingga menimbulkan cemuhan.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Kedah, Abdul Rashid Mohd Kassim sehubungan itu membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook bernama Roslan Aziz itu di IPD Kubang Pasu, kelmarin.

“Ia menyebabkan integriti dan maruah penjawat awam Kementerian Pendidikan atas jawatan guru besar dipertikaikan. Ia tidak berasas dan berniat jahat. Tuduhan ini memberi tanggapan negatif atas tugas dipertanggungjawabkan,” kesalinya.

Majlis diwakili 13 kesatuan daerah dan 547 guru besar ini menjelaskan bahawa prosedur wang zakat dalam Sumbangan Wang Amanah perlu melalui jawatankuasa dan auditnya.

Berita penuh : https://berita.pas.org.my/exco-kedah-jangan-jadi-hakim-di-media-sosial/