Jalanraya di Kota Kinabalu hari ini ‘tiba-tiba sesak’ 3KM undang persoalan

Laluan di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, (KKIA), di sini, sesak dipenuhi kenderaan, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, keadaan jalan berkenaan dipenuhi kenderaan sehingga lebih tiga kilometer sepanjang jalan menuju ke pusat bandar raya ini, sejak tengah hari tadi.

Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Norzam, 39, berkata, dia terpaksa mengharungi kesesakan jalan berkenaan untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Katanya, kesesakan itu amat mengejutkan kerana pelaksanaan Sekatan Penuh Pergerakan (SPP) yang diumumkan kerajaan sebelum ini sepatutnya dipatuhi masyarakat.

“Saya terpaksa melalui jalan berkenaan yang mengalami kesesakan sehingga beberapa kilometer untuk membawa ibu hospital.

“Keadaan itu amat mengejutkan namun tiada pilihan untuk meneruskan perjalanan kerana ada janji temu perubatan di HQEI,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, orang ramai diminta supaya berada di rumah sepanjang masa ketika SPP kecuali keluar untuk memenuhi keperluan asas ataupun kecemasan.

Beliau berkata, berdasarkan kepada arahan terbaru kerajaan negeri, zon membabitkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan sudah tidak lagi dikuatkuasakan.

“Ini bererti perjalanan rentas sempadan membabitkan ketiga-tiga daerah tidak lagi dibenarkan kecuali membabitkan perkhidmatan perlu atau urusan kecemasan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya mengamalkan penjarakan sosial daripada orang sekeliling supaya dapat mengelakkan jangkitan Covid-19.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/714942/jalan-sesak-lebih-3-kilometer