Ivermectin : Keputusan klinikal KKM dijangka September

Orang ramai perlu memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melengkapkan kajian klinikal berhubung keberkesanan dan kesan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit COVID-19.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ketika ini Ivermectin di Malaysia hanya digunakan bagi ujian klinikal secara kelulusan ‘off label’ dengan pemantauan rapi oleh penyelidik dan pakar yang terlibat.

Justeru, jelas beliau sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan evidence-based medicine, dan KKM dijangka mengeluarkan keputusan berhubung ujian klinikal Ivermectin pada September ini.

“Pada asasnya dalam negara kita, Ivermectin hanya diluluskan untuk kegunaan haiwan yang mempunyai penyakit cacing atau kutu. Saya rasa golongan veterinar memang banyak menggunakan ini. Tetapi untuk kelulusan bagi kegunaan manusia, negara kita tidak meluluskannya sebab itu ia diberikan sebagai ‘off label’.

“Indikasi sebenar bukan untuk kegunaan ke atas COVID-19. Jadi, untuk digunakan ke ke atas (pesakit) COVID-19, kita memerlukan kelulusan khas daripada Ketua Pengarah Kesihatan.

“Dalam erti kata lain, farmasi atau doktor yang berada di luar daripada kajian klinikal tidak boleh menggunakan (Ivermectin) selagi tidak ada bukti yang kukuh,” katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa negara termasuk India, United Kingdom (UK) dan Jepun telah menarik balik penggunaan Ivermectin bagi tujuan rawatan COVID-19.

Sehubungan itu, Dr Suhazeli menegaskan agar segelintir pihak tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap penggunaan Ivermectin selagi ia tidak dibuktikan melalui ujian klinikal.

“Kita lihat kajian terbaru daripada jurnal Clinical Infectious Diseases yang dikeluarkan pada 28 Jun lalu didapati bahawa daripada jumlah (anggaran) ribuan subjek kajian yang dijalankan ke atas pesakit, sama ada pesakit itu peringkat awal dan peringkat kritikal, didapati bahawa Ivermectin tidak mencegah berlakunya jangkitan COVID-19.

“Kedua, Ivermectin tidak menyebabkan pesakit itu (yang mengambil Ivermectin) tidak dimasukkan ke wad. Maksudnya, kes-kes yang mengambil Ivermectin juga dimasukkan ke wad dalam keadaan teruk yang memerlukan bantuan pernafasan dan sebagainya.

“Malah, didapati kes-kes (pesakit) yang mengambil Ivermectin lebih teruk daripada yang tidak mengambilnya,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr Suhazeli menzahirkan kebimbangan bahawa Ivermectin yang belum lagi diputuskan penggunaannya boleh merencatkan program imunisasi negara.

Sejak Mei lalu, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penggunaan-ivermectin-tunggu-keputusan-ujian-klinikal-kkm-pakar-kesihatan-310297

BACA JUGA : Nadir Al-Nuri jawab isu sumbangan RM20 juta