Orang ramai dilihat bertalu-talu mengecam Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman rasmi Facebook Perdana Menteri itu susulan pembentangan Pelan Pemulihan Negara yang dicanang kononnya sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.
Rata-rata warganet menyifatkan pelan dengan strategi merangkumi empat fasa itu tidak lebih hanya pelan bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain ‘habuk pun tiada’.
Bahkan, ramai mempertikaikan langkah sekatan pergerakan penuh sehingga 28 Jun ini yang telah menjejaskan kehidupan rakyat tetapi banyak kilang masih beroperasi.
“Sambung PKP untuk selamatkan jawatan atau rakyat? Bagi pelan yang konkrit, bukan pelan untuk selamatkan jawatan,” bentak Rahim Razali.
Sementara itu, pengguna Facebook Nor Azian Husain Azian pula menasihat Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk berpijak di bumi nyata.
“Jangan sentiasa bermain mimpi dan duduk di alam fantasi buatan sendiri. Tiada apa yang istimewa dalam perutusan ini kepada rakyat marhaen.
“Apa yang kami mahu dengar adalah apa usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok? Apa jaminan kerajaan setiap mulut boleh makan untuk melangsungkan kehidupan?” tempelaknya.
Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/pelan-selamatkan-jawatan-bukan-pemulihan-negara/