Isu troli : PAS ucap terima kasih kepada STAR,SAPP kerana faham

Isu troli : PAS ucap terima kasih kepada STAR,SAPP kerana faham

PAS Sabah menghargai rakan mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana memahami tindakan parti itu berhubung isu troli yang berlaku di negeri berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin, dalam kenyataannya menyatakan penghargaan terutama kepada STAR dan SAPP.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kenyataan itu turut ditujukan kepada PBS yang juga rakan gabungan GRS kerana Naib Presidennya, Johnny Mositun baru-baru ini menyelar tindakan pihak yang cuba memperbesarkan isu berkenaan.

”Dewan Pemuda PAS Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan parti dalam GRS terutama STAR dan SAPP yang lebih memahami budaya hidup bermasyarakat di Sabah berbanding Warisan.

”Ia jelas menunjukkan bahawa kesatuan parti-parti kerajaan negeri yang mewakili pelbagai etnik dan agama lebih ke hadapan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook oleh seorang pengguna dengan nama akaun Muhammad Haziq Abd Rahman yang meminta supaya diasingkan troli untuk barangan halal dan tidak halal di sebuah pasar raya di Keningau.

Susulan itu, Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan menggesa supaya semua pasar raya atau kedai supaya perlu sensitif dengan keperluan serta sentimen pelbagai agama di Sabah.

Bagaimanapun, selepas itu, Mositun menzahirkan kebimbangan parti itu berhubung kemunculan tanda-tanda awal pembawaan ekstremisme di negeri ini.

“Sebenarnya, Sabah adalah contoh terbaik daripada segi amalan toleransi dan perpaduan. Pada masa lalu, kita tidak pernah mendengar perkataan ”pengasingan” termasuk dalam soal perkhidmatan pasar raya di Sabah.

“Kita perlu mengekalkan keadaan ini dengan apa juga cara dan berhati-hati terhadap kumpulan tertentu yang cuba mengganggu-gugat hubungan yang harmoni ini.

“Mereka ini cuba menabur benih kebencian dan perpecahan pada orang lain, sama ada atas dasar agama atau kaum dan etnik,” katanya.

Dalam pada itu, Zulzaim menyelar tindakan segelintir pimpinan Warisan yang cuba mengambil kesempatan membangkitkan sentimen perkauman daripada isu berkenaan.

Katanya, ia jelas menunjukkan kedangkalan pemimpin parti itu dalam memahami hak pengguna di Sabah.

”Kerana kedangkalan itu jugalah Warisan hanya mampu memerintah negeri Sabah beberapa bulan di samping kegagalan dalam menjaga kepentingan masyarakat Sabah sehingga kecundang dalam PRN (pilihan raya negeri) yang lepas.

”Bagi Pemuda PAS Sabah, Warisan hanya sebuah parti yang sudah ditelan zaman kegemilangannya, hilang taringnya dan tiada kemampuan untuk meraih tempat semula dalam hati masyarakat Sabah sampai bila-bila,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/13/terima-kasih-star-sapp-kerana-faham-kata-pemuda-pas-sabah-berhubung-isu-troli/