Isu Doktor Kontrak : Kerajaan setuju lanjutkan kontrak

Isu Doktor Kontrak : Kerajaan setuju lanjutkan kontrak.Kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata langkah penyelesaian segera itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kontrak

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, langkah ini juga bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Menurut Muhyiddin, bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, jemaah menteri juga bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan hadiah latihan persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” katanya.

Jelas Muhyiddin, keputusan-keputusan itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Selain itu, Muhyiddin berkata dia juga mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan untuk merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu yang timbul sebelum ini.

“Ia merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19 dan kerajaan akan terus komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

Terdahulu, sekumpulan doktor kontrak dilaporkan akan meneruskan rancangan mengadakan hartal pada 26 Julai ini selepas tiada sebarang tawaran bagi mengatasi masalah mereka.

Untuk rekod pada 12 Julai lalu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan akan mengumumkan suatu penyelesaian kepada kemelut berkenaan pada minggu itu juga.

Hal yang sama turut dimaklumkan Adham kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Bagaimanapun selepas mesyuarat kabinet berlangsung pada 14 Julai, tiada sebarang pengumuman dibuat berkenaan isu tersebut.

Gerakan doktor terbabit itu dibuat menggunakan kolektif dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak bagi mengelakkan nama mereka dikenal pasti dan berdepan kemungkinan diambil tindakan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/584176

Jika Terlepas: Terngiang-ngiang ayah minta tolong sebelum maut dalam kebakaran