Isu ahli parlimen dihalang masuk parlimen hangatkan perbahasan hari kedua

Hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas bermula ‘panas’ dengan pertikaian berhubung sekatan terhadap ahli Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Bermula dengan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoal mengapa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyekat hak ahli Dewan Rakyat ke Parlimen.

Malah, Ketua Pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta penjelasan mengapa beliau disekat untuk ke pejabat Ketua Pembangkang.

Isu ahli parlimen dihalang masuk parlimen hangatkan perbahasan hari kedua

ANWAR Ibrahim dan beberapa pemimpin pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka susulan penutupan Parlimen awal Ogos lalu. 

Ia kemudian mendapat respon daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan menjelaskan Parlimen ditangguhkan dan tiada keperluan untuk ahli Dewan Rakyat hadir ke Parlimen lagi.

“Parlimen telah ditangguhkan persidangannya. Maka sebab itu apabila arahan untuk tidak dibenarkan masuk, polis mengambil kuasa mengarahkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi apa yang menjadi masalah kita di sini?

“Masalahnya adalah sama ada kita nak mendengar dari segi keputusan Akta 342 atau tak nak mendengar. Untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang lebih menjadi masalah kepada rakyat iaitu untuk tidak ada berkumpul di mana sebab itu polis melakukan sesuatu demi keselamatan semua pihak,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Hamzah menjelaskan yang pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kini dalam peringkat perbincangan untuk mengurangkan kompaun kepada ahli Parlimen yang berkumpul pada 2 Ogos lalu.

“Tidak ada dua darjat antara ahli Parlimen dengan rakyat lain yang berkumpul sebegitu. Sebab itu kita terpaksa minta maaf, kita bagi kompaun kerana berkumpul yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut tidak mampu menenangkan keadaan apabila ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoal mengapa kerajaan boleh berkumpul pula di kediaman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, persoalan itu tidak dijawab dan diteruskan dengan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/sidang-kecoh-persoalan-pdrm-sekat-mp-masuk-parlimen/

BACA JUGA : Timbalan Speaker ketiga, Menteri kata cadangan menarik