Ismail Sabri perlu buktikan kerajaan baharu lebih baik

Menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet kerajaan terdahulu adalah kelebihan buat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam meneruskan tugas menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menjangkakan, Perdana Menteri Kesembilan yang baharu dilantik itu berdepan cabaran lebih berat untuk membuktikan kerajaan bakal dibentuk lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Ismail Sabri memerlukan jemaah menteri dalam kalangan individu yang profesional dan ‘bekerja’ bagi memastikan Kabinetnya kukuh.

Ismail Sabri perlu buktikan kerajaan baharu lebih baik

“Pelantikan beliau itu sudah tentu dapat meneruskan kesinambungan sebelum ini tapi tugas beliau sangat berat untuk memastikan prestasi lebih baik.

“Prestasi beliau akan diambil kira oleh rakyat, justeru beliau mesti dibantu pasukan jemaah menteri yang kuat,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Ditanya sama ada jemaah menteri sedia ada perlu dikekalkan bagi meneruskan kesinambungan atau memerlukan lantikan baharu, Dr Mohd Izani tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan pemimpin yang dilantik sebagai menteri.

“Persoalannya adakah wajar mengekalkan saiz Kabinet besar seperti kerajaan PN sebelum ini?” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berpandangan Kabinet yang bersaiz kecil tetapi efektif adalah memadai untuk menguruskan negara dan berharap ada pelantikan dalam kalangan golongan profesional bagi memimpin kementerian kritikal serta demi mengelak ‘politicking’.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri baharu juga diharap dapat bekerjasama dengan parti pembangkang untuk bersama-sama menguruskan krisis kesihatan ketika ini seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mengambil kira pandangan pemimpin parti pembangkang juga akan memberi manfaat sama ada melantik mereka menganggotai sesuatu jawatankuasa atau pasukan khas,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/744842/cabaran-berat-ismail-sabri-buktikan-kerajaan-lebih-baik-pakar

BACA JUGA : Ku Li ditawar Umno jadi PM, Ahmad Maslan enggan komen

Artikel ini disiarkan pada 20/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)