Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Beliau turut merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan “Keluarga Malaysia”.
” Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.
“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita,
iaitu Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri kesembilan hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau menggunakan pendekatan “Keluarga Malaysia” kerana frasa itu bersifat lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan
kaum.
“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.
“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.”
Ismail berjanji akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.
“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.
“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.”
BERITA LANJUT MENYUSUL
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/22/ismail-ajak-pembangkang-sertai-mpn-jawatankuasa-khas-covid-19/