Inspektor Kesihatan dikejar pesakit Covid-19 dengan cangkul

Inspektor

Inspektor Kesihatan dikejar pesakit Covid-19 dengan cangkul.Seorang inspektor kesihatan daerah cedera ringan akibat terjatuh gara-gara dikejar pesakit Covid-19 dengan sebatang cangkul, di Kampung Baru Serdang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa yang berusia 39 tahun luka pada kedua-dua tapak tangan, bibir dan dagu di samping sumbing pada bahagian atas gigi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi, sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mangsa bersama sekumpulan petugas kesihatan diarahkan ke rumah lelaki berkenaan untuk membuat penilaian perubatan selepas suspek dikesan melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

“Setibanya di lokasi kejadian, pengadu memperkenal diri dan memberitahu tujuannya, namun suspek yang berusia 40 tahun itu enggan memberi kerjasama.

“Suspek tiba-tiba mengejar pengadu dengan sebatang cangkul untuk menyerangnya sekali gus menyebabkan mangsa terjatuh ketika mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Inspektor

Baharudin berkata, semakan mendapati suspek yang merupakan buruh mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1959.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Isnin lalu, suspek yang sepatutnya menjalani kuarantin di PKRC Bersepadu Stadium Negeri hingga 6 September ini dikesan melarikan diri dan kehilangannya disedari petugas kesihatan kira-kira pukul 4.30 petang ketika proses pengambilan tanda vital di samping pemeriksaan lanjut yang mendapati peralatan peribadi miliknya tiada di katil pesakit.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/cedera-dikejar-pesakit-covid-19-dengan-cangkul/

BACA: Penyanyi lagu parodi bersuara emas akhirnya menghadap TMJ

Artikel ini disiarkan pada 03/09/2021