Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim menerima pingat Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.)
sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-79, hari ini.
Pemain bola sepak kebangsaan yang lebih mesra disapa dengan panggilan Mickey itu adalah antara
94 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran di dalam satu majlis yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Selangor.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Faisal menzahirkan ucapan terima kasih di atas kurniaan anugerah yang akan dijadikan motivasi baharu untuk lebih bekerja keras selepas ini.
“Merafak sembah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diatas pengurniaan anugerah ini. Patik dengan rendah diri merasa penuh syukur dan terharu menerima penghargaan ini.
“Saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baru untuk patik terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua,” katanya menerusi ruangan kapsyen hantaran di platform Instagram itu.
Sekadar info, Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah ini dizahirkan pada tahun 2002 dan merupakan Kelas Keempat dalam Famili Darjah Kebesaran Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Berdasarkan tinjauan menerusi Laman Web Rasmi Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan, Ahli-Ahli yang dikurniakan anugerah ini tidak boleh menggunakan apa-apa gelaran.
Bilangan kuota Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Keempat ini tidak lebih daripada 40 orang dalam satu-satu masa dan bilangan maksimum keseluruhannya ialah 700 orang.
Manakala kelayakan penerima pula terdiri daripada mereka yang telah berkhidmat dan berjasa kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Kerajaan Baginda.
Faisal Halim yang merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah antara tonggak utama di dalam skuad Red Giants sejak 2023 dengan meledak 12 gol dalam 31 penampilan.
Sumbangan Faisal dalam pasukan Harimau Malaya juga cukup besar dan pencapaian paling cemerlang adalah membantu skuad negara beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar dengan menjaringkan gol tercantik kejohanan ketika mengikat Korea Selatan 3-3 pada awal tahun ini.
Namun sayangnya pada 5 Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah sehingga perlu menjalani empat pembedahan seterusnya menjejaskan prestasinya.
Baca juga: Pernah tak alami situasi terlupa apa yang ingin dilakukan, ini sebenarnya yang jadi pada otak