Ini cara Singapura hadapi wakil rakyat lompat parti, Malaysia patut tiru

Ini cara Singapura hadapi wakil rakyat lompat parti, Malaysia patut tiru. Kerajaan dicadang mencontohi Singapura yang mempunyai peruntukan dalam Perlembagaan republik itu yang membolehkan kerusi menjadi kosong setelah wakil rakyat melompat parti.

Pakar undang-undang, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, Perkara 46(2)(b) Perlembagaan republik itu menyatakan, kerusi seorang ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong sekiranya dia tidak lagi menjadi ahli parti yang atas nama parti itu dia bertanding dalam pilihan raya.

“Peruntukan ini bermakna hak wakil rakyat melompat parti kekal. Dia boleh lakukannya pada bila-bila masa, tetapi bila ia berlaku, kerusinya menjadi kosong secara automatik.

“Disebabkan kelayakannya menjadi wakil rakyat tidak hilang, dia masih boleh bertanding apabila pilihan raya kecil diadakan disebabkan kekosongan kerusinya itu. Dia perlu kembali mendapatkan mandat rakyat kerana sudah tidak ada kerusi lagi dalam dewan,” katanya.

Singapura

Beliau berkata demikian dalam artikel bertajuk Lompat: Belajarlah dari sejarah yang disiarkan di kolumnya, Minda Peguam dalam Utusan Malaysia, hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar notis usul cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Cadangan RUU itu yang selari dengan inisiatif undang-undang antilompat parti yang sedang diusahakan kerajaan merujuk kepada ‘recall election’ atau pemilihan semula seperti diamalkan oleh beberapa negara Komanwel lain.

Menurut Salleh, undang-undang antilompat parti seperti yang difahami sekarang merujuk kepada larangan kepada seorang wakil rakyat meninggalkan partinya untuk melompat ke parti lain.

“Apa sahaja undang-undang (akta atau enakmen) yang menghalang seorang warganegara menyertai mana-mana parti politik (atau meninggalkannya) adalah menyalahi Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua warganegara berhak menubuhkan satu persatuan.

“Keahlian parti seorang wakil rakyat tidak boleh disentuh, digugat atau dilucutkan semata-mata kerana dia lompat parti. Apa yang boleh dinyatakan dalam akta ini nanti adalah seperti dilakukan kerajaan Singapura.

“Ini bermakna dia (wakil rakyat yang boleh bertanding semula) menghadapi risiko ditolak (dihukum) oleh pengundi kerana mengkhianati janji asalnya kepada mereka dahulu apabila berpaling tadah daripada parti asalnya,” ujarnya.

Sumber :

BACA: Panas !!! Konflik di Negeri Sembilan, PKR panggil MB beri penjelasan