Indah Water akui loji tercemar, namun nafi jadi punca pencemaran sungai Selangor

INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menolak dakwaan yang syarikat itu bertanggungjawab ke atas pencemaran terbaru di Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air kepada lebih sejuta isi rumah di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata loji rawatan air (LRA) itu terjejas kerana sisa haram dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

“Pelepasan terakhir efluen terpaksa dihentikan sejak Khamis lepas selepas IWK mengesan beberapa unsur sisa haram yang dibuang ke dalam sistem perparitan.

“LRA yang terjejas terpaksa menyekat aliran keluar air sejak beberapa hari lepas bagi mengelakkan tumpahan ke dalam aliran sungai. Jika tidak dilaksana secepat mungkin, unsur haram itu akan masuk ke dalam loji kami seterusnya mewujudkan kesan lebih buruk kepada alam sekitar.

“IWK juga terpaksa menjalankan rawatan susulan menggunakan enzim untuk meneuteralkan proses. Tambahan pula, sepanjang tempoh ini, kami juga perlu merawat air kumbahan yang masuk dari luar tapak loji.

“Apabila kami menghentikan efluen minggu lepas, pasukan kami serta merta memaklumkan semua pihak berkuasa berkaitan tentang unsur haram yang masuk ke dalam loji kami,” kata Narendran dalam satu kenyataan, dikeluarkan malam ini.