Ibadah Qurban tak digalakkan tahun ini di Kelantan, kata exco

Kerajaan Kelantan tidak menggalakkan umat Islam di negeri itu melaksanakan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini sebagai langkah mengelak penularan Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata sekiranya ibadah korban dilakukan seperti selalu, berlaku aktiviti berkumpulan yang membawa risiko menyebabkan penularan wabak tersebut.

“Perkara yang kita bimbangkan ialah Aidiladha nanti kerana akan berlakunya ibadah korban sekali gus membabitkan aktiviti berkumpulan.

“Sebagai contoh jika ibadah korban membabitkan seekor lembu, sekurang-kurangnya ia akan dihadiri 10 individu untuk penyembelihan dan melapah daging. Itu belum termasuk ‘penonton’ lagi.

“Kemudian orang (datang) bawa baldi untuk ambil daging (bahagian) lagi.

“Selepas itu akan wujud pergerakan mengagih daging lembu korban pula. Semestinya akan berlaku pergerakan yang lebih berbanding Aidilfitiri,” katanya ketika kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Kelantan di kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Sebagai rekod umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Hari Raya Haji pada 20 Julai depan.

Sementara itu Izani berkata, pihaknya juga tidak membenarkan program ibadah korban secara mega diadakan dalam kalangan wakil-wakil rakyat.

“Jadi kita tidak menggalakkan penduduk di negeri ini melakukan acara korban kerana kes di Kelantan masih lagi tinggi.

“Itu yang menjadi kebimbangan kita. Walaupun kes Covid-19 menunjukkan penurunan sejak beberapa hari ini, tetapi kita tidak boleh leka kerana kes aktif masih tinggi dan ia boleh meningkat bila-bila masa sahaja jika prosedur operasi standard (SOP) diabaikan,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/578387

COMMENTS

Wordpress (0)