i-Citra : Pengeluaran guna akaun 2 dahulu, kata KWSP

Oleh MHDAILY

Semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon kemudahan i-Citra akan membuat pengeluaran wang menerusi Akaun 2 terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengakses Akaun 1.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, pengeluaran wang simpanan daripada Akaun 1 hanya dibenarkan sekiranya dana sedia ada tidak mencukupi untuk kegunaan pencarum.

Katanya, kemudahan terbaharu itu juga sebenarnya direka untuk mengambil semua simpanan dalam Akaun 2 ahli untuk mendepani situasi pandemik yang semakin mencabar.

“Kemudahan i-Citra direka untuk membolehkan mereka menggunakan dana tersedia dalam Akaun 2 terlebih dahulu dan sekiranya ia tidak mencukupi, kami akan membenarkan Akaun 1 diakses,” katanya pada sesi perbincangan ‘MIDF Conversations’ secara maya menurut laporan Berita Harian.

Sesi yang kali pertama diadakan itu dikendalikan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Charon Mokhzani.

Amir Hamzah berkata, pengenalan kemudahan i-Citra adalah keputusan yang sukar kerana KWSP diberi mandat membantu setiap ahli memiliki simpanan untuk digunakan selepas persaraan nanti.

Bagaimanapun katanya, mereka memahami dugaan luar biasa yang dihadapi seluruh rakyat Malaysia akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kami faham bahawa pandemik ini memberi dugaan luar biasa dan sebab itu kami mencari jalan dengan memberi ruang ahli mengakses wang simpanan mereka.

Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenalkan kemudahan i-Citra yang layak dinikmati 12.6 juta ahli KWSP menerusi Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Selain itu, Amir Hamzah berkata, pengeluaran menerusi kemudahan i-Sinar dan i-Lestari berjumlah kira-kira RM80 bilion tidak menjejaskan kecairan KWSP.

“Ia masih boleh diuruskan asalkan dirancang dan disesuaikan dengan portfolio pelaburan KWSP,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/01/pengeluaran-i-citra-menerusi-akaun-2-dahulu-kata-kwsp/

BACA JUGA : Jangan dilihat derhaka, segerakan sidang parlimen