Hubungan Umno-Bersatu semakin sukar untuk dipulihkan

Hubungan Umno-Bersatu semakin sukar untuk dipulihkan apabila pemimpin No 2 Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali Peja kelmarin menyuarakan kebimbangan “kalangan” tertentu yang menjatuhkan Muhyiddin Yassin bulan lalu akan cuba mempengaruhi keputusan-keputusan Ismail, ia menimbulkan persoalan mengenai tahap keyakinan parti itu terhadap Perdana Menteri baharu.

Tentunya “kalangan” yang dimaksudkan oleh Peja itu ada kaitan dengan “kluster mahkamah” dalam Umno, yang antara terpalit adalah Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Perdana Menteri Najib Razak. Dua pemimpin Umno itu sebelum ini lantang menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin kerajaan gagal.

Mereka antara 15 Ahli Umno yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sehingga memaksa Presiden Bersatu, (bos Peja) untuk meletak jawatan, sekali gus membolehkan Ismail menjadi perdana menteri dan Umno kembali ke tampuk sebagai ketua kerajaan.

Hubungan Umno-Bersatu semakin sukar untuk dipulihkan

Bersatu sebelum ini turut membayangkan rasa tidak senang hati sekiranya jika Ismail meneruskan dengan pencalonan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pencalonan itu mengundang kontroverfsi kerana Ahmad menghadapi perbicaraan atas tuduhan pengubahan wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai RM2 juta yang diterimanya pada 2013 daripada Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menegaskan Bersatu tidak akan berkompromi dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah. Kenyataan itu tentunya diselaraskan dengan kesanggupan Muhyiddin meletak jawatan daripada tunduk kepada desakan individu yang menghadapi kes mahkamah.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menasihatkan Ahmad untuk menarik diri sebagai calon Timbalan Speaker kerana sokongan Bersatu untuk beliau “kurang solid.” Kenyataan itu turut mencerminkan hubungan ‘lembek’ Bersatu-Umno yang tentunya memberi impak kepada keutuhan kerajaan Ismail.

Jika sebelum ini, Muhyddin bergantung kepada sokongan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri, Ismail kini memerlukan sokongan Bersatu dan sekutu serta parti komponen Perikatan Nasional yang dipengerusikan Muhyiddin, bagi tujuan sama.

Mungkin atas faktor ini, maka Ismail melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan pada masa sama mahu memberikan pemimpin seperti Ahmad Maslan ruang menerusi jawatan penting di Parlimen.

Bermakna politik tawar-menawar yang membelenggu Muhyiddin sepanjang 17 bulan pentadbirannya, kini turut mewarnai pemerintahan Ismail. Namun, politik sebegini, sebagaimana yang terbukti zaman Muhyiddin, tidak membawa kepada kestabilan atau menambah keutuhan kerajaan, tetapi berisiko memberi kesan sebaliknya.

Apa yang pasti, Bersatu akan terus lantang menuduh kalangan pemimpin Umno sebagai dalang yang menjatuhkan presiden mereka.

“Tiba-tiba kita tak dengar (slogan) kerajaan gagal (selepas Ismail jadi PM),” kata Peja Ahad lalu. “Jadi siapa yang buat kempen ‘kerajaan gagal’ ini? Pembangkang atau sesama kita,” ujar beliau.

Umno sudah pun menolak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan mahu bertanding di semua kerusi tradisinya, termasuk Pagoh yang disandang Muhyiddin.

Dalam keadaan sedemikian, tentunya Bersatu tidak akan berundur daripada menghadapi Umno, lebih-lebih lagi jika ia berjaya membentuk pakatan jitu dengan PAS.

Peja adalah menteri dan orang no 2 Bersatu. Kenyataan-kenyataan beliau kelmarin menunjukkan parut luka yang ditinggalkan Umno atas parti itu tidak mungkin hilang dalam tempoh terdekat.

Ia juga membuktikan perseteruan Umno-Bersatu jauh daripada terubat, malah mungkin lebih teruk, meskipun (atau kerana) berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan.

Ia juga petanda jelas, “perancangan” PAS untuk merealisasikan pakatan politik parti Melayu-Islam bagi menghadapi PRU15 yang dicanang sekian lama, hanya berupa mimpi di siang hari.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/pandangan/2021/09/22/kenyataan-peja-serlah-hubungan-umno-bersatu-makin-rumit-sukar-dipulih/

BACA JUGA : Kereta sedang parkir terbakar, warga emas ditemui rentung

COMMENTS

Wordpress (0)