Hotel ada, pusat PLKN ada, mengapa tak dijadikan pusat kuarantin?, soal Najib

Oleh MHDAILY

Kerajaan disaran lebih berinovasi untuk mencari jalan bagi menambah kapasiti pusat rawatan kes berisiko rendah Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia supaya pesakit yang positif Covid-19 tidak perlu kuarantin kendiri di rumah atau dipaksa menghabiskan simpanan usia tua mereka untuk rawatan hospital swasta yang mahal.

“Kita ada banyak hotel-hotel yang sudah berhenti operasi sejak pandemik bermula. Kita juga ada banyak kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak lagi terpakai.

“Kenapa tempat-tempat ini tidak boleh dipulihkan oleh kerajaan untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dalam masa yang singkat,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tangkap layar laporan berita mengenai seorang warga emas yang mengalami kemurungan sejak disahkan positif Covid-19 ditemui mati dengan kesan kelar di leher disyaki membunuh diri di rumahnya di Seri Kembangan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan mengapa seorang pesakit Covid yang mengadu kesakitan dan bergejala tidak diberi tempat di fasiliti rawatan kerajaan.

Malah ujarnya lagi, kerajaan yang tidak mampu menjaga warga sendiri jatuh sakit adalah sebuah kerajaan gagal.

“Saya faham jumlah kes aktif Covid sudah melepasi kapasiti sistem kesihatan dan saya telah banyak memberi amaran bahawa ini bakal berlaku pada bulan November dan Disember apabila kerajaan tiba-tiba tarik balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tarik balik sekatan rentas negeri, lancarkan kempen pelancongan domestik dan melonggarkan SOP Covid,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Najib menyeru kepada orang ramai agar bekerjasama dengan polis dan mengumumkan secara awam mengenai mereka yang positif Covid dan sedang mengalami kesakitan.

“Tetapi (mereka) tidak berjaya berhubung dengan Kementerian Kesihatam Malaysia (KKM) dibenarkan untuk menghubungi talian kecemasan polis untuk mendapat bantuan segera daripada pihak KKM,” katanya. –SH