Hilman dakwa video kepit wanita mabuk usaha jatuhkan kredibiliti beliau dan kerajaan PN

Hilman dakwa video kepit wanita mabuk usaha jatuhkan kredibiliti beliau dan kerajaan PN

Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhammad Hilman Idham memberi jaminan kepada Perdana Menteri berhubung klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang ahli politik berpeluk dengan dengan seorang wanita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia yang kini menyokong Bersatu itu berkata, tuduhan yang cuba mengaitkan dirinya adalah bagi menjatuhkan dia dan kerajaan.

“Tuduhan yang cuba dikaitkan kepada saya adalah berunsur fitnah dan merupakan usaha pihak pembangkang untuk menjatuhkan kredibiliti saya dan Perikatan Nasional (PN).

“Segala usaha akan dilakukan untuk memastikan tiada laporan susulan oleh pihak media,”
katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, bekas aktivis mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 11 tahun lalu tersebut memohon maaf kepada Perdana Menteri sekiranya kontroversi tersebut telah mengakibatkan sebarang kesulitan.

Sejak kelmarin, tular rakaman CCTV mirip Hilman yang dilihat berpakaian kemeja biru berjalan beriringan sambil memeluk pinggang seorang wanita.

Di lokasi dipercayai di hotel, wanita tersebut antara lain nampak manja sambil merangkul leher individu terbabit.

Kedua-duanya yang dilihat begitu mesra itu diikuti dua lagi wanita dan seorang lelaki berkemeja putih di belakang mereka.

Pada 2019, Hilman juga antara sosok dirakam CCTV di ruang menunggu di depan lif dan menuju bilik 2015 Hotel Four Points, Sandakan, Sabah pada 11 Mei 2019.

Pada ketika itu, Hilman juga Setpol Azmin yang menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Berdasarkan paparan rakaman tanpa suara itu, Hilman dipercayai tinggal di tingkat sama dengan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rashid di hotel itu pada tarikh berkenaan.

Rakaman CCTV skandal seks sejenis membabitkan individu mirip Azmin dan Haziq itu bagaimanapun dikatakan Hilman sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej ‘bos’nya.

Meskipun Haziq mengaku bahawa dia adalah pelaku dalam tiga siri rakaman video lucah hubungan sejenis yang tersebar sejak 11 Jun 2019 itu tetapi Azmin berkali-kali menafikannya.

Bulan berikutnya, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan Azmin tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video songsang terbabit.

Menurutnya, ini berdasarkan proses pengecaman wajah yang telah dijalankan oleh Cyber Security Malaysia mendapati ia adalah negatif.

Walau bagaimanapun, Abdul Hamid mengakui keberangkalian video tersebut tulen adalah tinggi sambil berkata, video itu telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Berita penuh ; https://malaysiadateline.com/setpol-azmin-jamin-kepada-pm-tiada-laporan-susulan-dari-media/