Hilang majoriti namun Muhyiddin masih ada peluang

Perdana Menteri

Hilang majoriti namun Muhyiddin masih ada peluang.Para penganalisis bersetuju bahawa kenyataan Ahli Parlimen menunjukkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini telah kehilangan sokongan majoriti, namun kata mereka, kedudukannya mungkin masih selamat sehingga Parlimen bersidang atau Yang di-Pertuan Agong meminta kiraan sokongan dibuat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Muhyiddin mempunyai kelebihan dalam permainan kuasa semasa disebabkan kuasanya ke atas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan lain-lain agensi kerajaan.

Beliau juga menyebut kemungkinan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencapai persefahaman dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin dan bersetuju untuk tidak hadir ke Parlimen jika undi percaya dijadualkan.

“Ada yang mungkin kata mereka sakit atau beri alasan lain (dan ini) memberi Muhyiddin kelebihan,” katanya.

Seramai 15 Ahli Parlimen Umno dilaporkan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan pentadbirannya sama ada melalui perisytiharan umum atau akuan berkanun (SD).

majoriti

Blok pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, MUDA dan Amanah, termasuk Maszlee Malik yang merupakan anggota bebas.

Dengan mengira 15 Ahli Parlimen Umno, mereka yang menentang Muhyiddin berjumlah 120 orang daripada keseluruhan 220 Ahli Parlimen.

Kenneth Cheng daripada kumpulan sivil Agora Society berkata, tidak diragukan lagi bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan kini terserah kepada Ahli Parlimen sendiri untuk memutuskan sama ada mereka akan menerima kerajaan minoriti.

Katanya, Istana Negara belum membuat kenyataan dan ini mungkin bagi membolehkan Ahli Parlimen memutuskan perkara itu di Parlimen.

Beliau berkata, ada kemungkinan Agong sama ada akan mengeluarkan kenyataan memanggil Parlimen bersidang serta-merta supaya undi percaya dapat dijalankan atau mengisytiharkan bahawa Muhyiddin telah kehilangan majoriti setelah baginda bercakap dengan Ahli Parlimen.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, beberapa Ahli Parlimen mungkin menyokong kedua-dua pihak dengan menandatangani SD atau tidak mengambil bahagian dalam undian.

Katanya, perkara itu hanya akan dapat diselesaikan oleh kenyataan daripada Agong atau menerusi undi tidak percaya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/11/muhyiddin-hilang-sokongan-majoriti-tetapi-masih-ada-peluang-kata-penganalisis/

BACA: MP Umno sokong PN tidak akan dipecat – Ahmad Maslan

Artikel ini disiarkan pada 11/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)