Hidupan dasar laut makan buaya sehingga tinggal tulang, menyeramkan…

Hidupan dasar laut makan buaya sehingga tinggal tulang, menyeramkan… Jarang kita dengar buaya jadi mangsa penghuni dasar laut. Tetapi itulah yang terjadi apabila penyelidik-penyelidik dari Konsortium Marin Universiti-Universiti Louisiana (LUMCON) menjatuhkan bangkai tiga ekor buaya ke dasar laut Teluk Mexico. Ini bagi menguji sama ada haiwan-haiwan dasar laut bertindak balas terhadap bangkai ini atau tidak. Dan hasilnya amat mengejutkan menerusi video di bawah:

Jadi, mengapa LUMCON memilih buaya sebagai bahan eksperimen? Terdapat puluhan spesies buaya yang ditemui di seluruh dunia dengan sebahagiannya dikesan berada di kawasan pesisir pantai. Ia boleh saja muncul akibat banjir, migrasi normal atau mencari makanan. Jika buaya ini mati di kawasan berkenaan, maka ia akan tenggelam ke dasar laut sebagai santapan penghuni kawasan berkenaan.

Jika ini berlaku dalam era pra-sejarah, ia sememangnya sesuatu yang normal. Perlu diingat, pada ketika itu, pemangsa-pemangsa utama laut ialah ichthyosaur, mosasaur dan plesiosaur. Seperti mana bangkai ikan paus hari ini, bangkai pemangsa-pemangsa ini akan tenggelam ke dasar laut dan menyumbang kepada kandungan karbon dasar laut.

Mungkin ada menganggap ini sebagai sesuatu yang aneh dan di luar kebiasaan. Tetapi penemuan bangkai buaya di tepi pantai bukan perkara baru. Misalnya, pada 2014, bangkai seekor buaya yang berukuran 3 meter panjang ditemui di Folly Beach, South Carolina. Tiga tahun sebelumnya, beberapa bangkai buaya ditemui di muara Sungai Atchafalaya semasa banjir melanda beberapa kawasan di Mississippi.

Hidupan dasar laut makan buaya sehingga tinggal tulang, menyeramkan…

Jadi, apa yang berlaku kepada ketiga-tiga bangkai buaya LUMCON itu? Untuk buaya pertama, ia dikerumuni oleh isopod gergasi merah jambu, spesies pembangkai yang gemar makan dengan pantas. Dalam tempoh 24 jam, isopod berjaya menembusi kulit buaya yang tebal dan makan semua daging bangkai berkenaan.

Untuk bangkai buaya kedua pula, dalam tempoh 51 hari, yang tinggal cuma tengkorak dan tulang belakang. Isopod sudah pasti mengerumuni bangkai kedua. Tetapi saintis mendapati wujud spesies baru cacing pemakan tulang dari keluarga Osedax yang turut dikenali sebagai cacing zombi. Ini merupakan kali pertama spesies cacing sebegini ditemui di Teluk Mexico.

Sementara untuk bangkai ketiga pula, tidak diketahui apa yang berlaku. Apabila ia diperhatikan semula lapan hari kemudian, bangkai tersebut hilang dibawa oleh pembangkai yang enggan mendedahkan identitinya. Para saintis dari LUMCON hanya tahu tali yang mengikat beban dan belenggu pada bangkai telah putus sama sekali. Dengan mengira berat bangkai dan kekuatan gigitan diperlukan untuk memutuskan tali-tali pada bangkai, ia dilakukan sama ada oleh jerung Greenland atau sixgill.

BACA JUGA : Ini punca lipan bersarang di rumah yang ramai tak tahu

Kes harian Covid-19 dijangka cecah 30,000 – Khairy

Rayan disahkan meninggal dunia