Hasanuddin jawab tuduhan gagal patuhi SOP

Hasanuddin jawab tuduhan gagal patuhi SOP.Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus berkata beliau mematuhi semua prosedur sebelum dan selepas memasuki negara ini sekembalinya dari Turki.

Hasanuddin bagaimanapun berkata akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kesihatan yang menyiasat sama ada beliau melanggar perintah kuarantin di rumah susulan kepulangannya daripada menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

Naib Presiden Amanah itu berkata beliau menghadiri mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen Besut Idris Jusoh, dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Katanya, beliau dijadualkan pulang ke Malaysia pada 11 Dis tetapi meneruskan perjalanan ke Iran dan Pakistan sebelum kembali ke Turki seterusnya pulang ke negara ini pada 21 Dis.

Beliau menjelaskan, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau telah memberikan butiran penuh perjalanannya di MySejahtera selain menunjukkan surat untuk pelepasan kuarantin yang telah dimohonnya menerusi kaunter Kementerian Kesihatan (KKM) di situ.

Katanya, surat pelepasan itu dimaksudkan untuk beliau, Idris dan Ahmad secara bersama.

Hasanuddin jawab tuduhan gagal patuhi SOP

“Walaupun surat itu nampak seolah-olah luput tarikhnya kerana sepatutnya untuk ketibaan pada 11 Dis, kakitangan KKM memaklumkan ia masih sah selama sebulan (dari 11 Dis),” katanya kepada FMT.

“Banyak SOP di KLIA, tetapi saya diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19. Ini bererti, sekiranya ujian RT-PCR saya adalah negatif, saya dikecualikan daripada menjalani kuarantin.

“Saya mengambil enam ujian RT-PCR sebelum terbang pulang dan satu lagi di KLIA yang hasilnya negatif. Jika surat itu tidak masih sah, saya tidak akan dibenarkan membuat ujian itu.

“Saya kemudian dibenarkan meninggalkan lapangan terbang tanpa perlu menjalani kuarantin di rumah.”

Hasanuddin berkata, beliau berulang kali meminta jaminan pegawai KKM di KLIA mengenai pengecualian itu, dan tidak diarahkan memakai gelang kuarantin.

“Mereka mengarahkan saya ke kaunter imigresen sebelum meninggalkan lapangan terbang tanpa arahan untuk menjalani kuarantin di rumah.”

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu wartawan dalam satu sidang media bahawa siasatan akan dijalankan untuk memastikan sama ada Hasanuddin melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Khairy berkata pengecualian itu pada awalnya diberikan kerana protokol ujian saringan dan pengecualian bagi perjalanan rasmi. Bagaimanapun, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) kemudian mengeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kepada Hasanuddin pada 20 Dis.

Menurutnya, ini disebabkan Hasanuddin tidak pulang pada 11 Dis seperti dinyatakan dalam surat itu.

Khairy disoal sama ada Hasanuddin telah melanggar arahan kuarantin, selepas dilihat menyertai usaha bantuan banjir di kawasannya. Menurut Khairy, Hasanuddin boleh didenda RM1,000 jika didapati melanggar SOP.

Hasanuddin menegaskan tidak mahu menyukarkan keadaan sebaliknya akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Sekiranya ada siasatan dan denda dikenakan, saya memiliki semua dokumen yang diperlukan.

“Saya akan patuh sepenuhnya. Tiada masalah kerana saya seseorang yang amat berpegang pada SOP,” katanya.

Tambahnya, seperti rakyat Malaysia lain, beliau turut mengisi borang dalam talian untuk permohonan kuarantin di rumah sebelum meninggalkan negara ini.

“Ini bererti sekiranya apa-apa berlaku ketika saya di luar negara, saya bersedia menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

BACA JUGA:

Didakwa sindir aset ATM, akhirnya Caprice bersuara
30 jemaah umrah Malaysia positif Covid varian Omicron
Kanak-kanak 6 tahun beli rumah bernilai RM4.4 juta, ramai terkejut

Artikel ini disiarkan pada 25/12/2021