Harga sayur naik mencanak, warganet zahir keresahan

Harga sayur naik mencanak, warganet zahir keresahan. Rata-rata warganet menzahirkan rasa kecewa apabila harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasaran didapati naik sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Ramai yang meluahkan perasaan dan berkongsi senario kenaikan harga bahan mentah bermula harga ikan, ayam, sardin, telur dan sayur.

Menurut warganet ketika harga ikan naik ramai yang merungut, jadi mereka disarankan untuk makan ayam yang dikatakan lebih murah daripada ikan.

Selepas harga ayam naik, mereka pula disuruh makan sardin.

Namun harga sardin pula mahal, disaran pula makan telur yang lebih murah apatah lagi kuantiti yang lebih banyak.

“Makanlah telur..telur kalau kau reti pelbagaikan sedap tau,” ujar warganet.

Ketika harga telur naik diminta pula makanlah sayur dengan alasan ia lebih berkhasiat.

Bagaimanapun timbul persoalan selepas harga sayur pula naik, rakyat mahu makan apa pula?

Inilah persoalan yang kini menjadi bualan ramai dalam kalangan warganet selepas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader mendedahkan kenaikan harga sayur-sayuran yang melampau.

Kenaikan harga sayur yang sangat ketara, sawi pendek daripada harga RM3 menjadi RM9 sekilogram.

Terdapat harga lapan jenis sayuran didapati naik antaranya kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

“Harga kubis bunga sebelum ini hanya RM7 sekilogram (kg) namun kini naik sehingga RM16 sekg. Paling teruk, sawi pendek yang didapati naik sehingga 200 peratus iaitu daripada RM3 sekg ke RM9 sekg.

Brokoli juga naik mendadak iaitu sebanyak 150 peratus iaitu daripada RM8 sekg ke RM20 sekg,” kata CAP.

Sementara itu, harga sawi naik daripada RM5 sekg ke RM8 sekg (60 peratus); kacang buncis daripada RM8 sekg ke RM15 sekg (88 peratus); kubis daripada RM4 sekg ke RM6 sekg (50 peratus), cili merah daripada RM13 sekg ke RM19 sekg (46 peratus) dan cili hijau daripada RM10 sekg ke RM14 sekg (40 peratus).

Tambahnya, lebih merunsingkan, peruncit mendakwa mereka diberitahu oleh pengedar serta pemborong bahawa kemungkinan harga sayur-sayuran lain juga akan naik.

“Mereka mendakwa bahawa sayur-sayuran lain juga akan naik pada beberapa minggu akan datang. Perkara ini amat membimbangkan.

Sehubungan itu, CAP menggesa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menyiasat kenaikan harga ini.

“Perkara ini akan memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah. Golongan ini akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang seperti sayur-sayuran ini,” katanya.

Kenaikan harga sayur ini, dikatakan disebabkan faktor cuaca termasuk hujan tidak menentu serta kerosakan tanaman petani di Cameron Highlands, menyebabkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Malah, bekalan sayur import turut berkurangan kerana negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau ketika ini.

BACA JUGA : Kerana i-Lestari dan i-Citra pencarum KWSP semakin miskin

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA: Harga sayur naik mencanak, warganet zahir keresahan […]