Harga pakej umrah kini bermula RM8,000

Oleh MHDAILY

Harga pakej umrah kini bermula RM8,000. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus percaya dengan tawaran pakej umrah yang ditawarkan pada harga bawah RM8,000.

Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) Dr Fathir Badri berkata, ini berikutan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sudah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ketika ini adalah antara RM8,000 ke RM9,000.

Katanya, harga pakej umrah itu mengambil kira kos terkini selepas pandemik Covid-19 berbanding harga lantai RM4,900 sebelumnya.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Kos ini baru diumumkan oleh Motac dan kita faham dengan situasi sekarang yang mana di Arab Saudi sekarang menetapkan satu bilik hanya dibenarkan dua orang jemaah dan hotel dibuka pula hanya bertaraf empat dan lima bintang.

“Bas pula dibenarkan hanya 50 peratus kapasiti dan disebabkan semua perkara ini, kos umrah meningkat, ia belum termasuk caj ujian saringan dan insurans perlindungan Covid-19.

“Oleh itu, sangat mustahil sekiranya ada yang mengiklankan lagi pakej umrah RM4,900. Orang ramai perlu pastikan dulu kebenarannya dan risik adakah harga itu muktamad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Harga

Ditanya berhubung sambutan orang ramai mendapatkan pakej umrah terkini, beliau yang juga Pengarah Urusan Kurma Travel & Tours Sdn Bhd berkata, memang ramai yang bertanya mengenai pakej ditawarkan, namun belum ada lagi yang mendaftar.

Dr Fathir berkata, pihaknya juga ada melihat pemain industri mengiklankan pakej umrah tanpa kebenaran Motac dan ada daripada mereka mengambil deposit peserta.

“Ini tidak betul kerana untuk mengiklankan pakej umrah, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Motac dan syarat lain adalah tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang deposit daripada orang ramai.

“Namun, kami ada nampak iklan pakej umrah yang menawarkan sebilik empat individu dan terbuka untuk kanak-kanak.

“Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini timbulkan kekeliruan dan salah penyampaian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil keputusan untuk mengatur trip umrah akhir September ini untuk mengenal pasti sendiri prosedur operasi standard (SOP) terkini di Arab Saudi.

“Kami akan (ke Arab Saudi) merisik dulu dan tengok apa SOP yang sebenarnya untuk umrah dan selepas pulang ke Malaysia nanti kami akan membuat kertas cadangan berdasarkan prosedur di sana,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/744412/tiada-lagi-pakej-umrah-serendah-rm4900

BACA: Malaysia tiada dalam senarai laluan kabel dasar bawah laut Facebook, Google