Hanya dengan jemputan PBB barulah kita boleh hantar tentera sertai pasukan pengaman – Menteri

Hanya dengan jemputan PBB barulah kita boleh hantar tentera sertai pasukan pengaman – Menteri

Malaysia bersedia menghantar bantuan tentera pengaman ke Palestin sekiranya mendapat permintaan daripada Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata buat masa ini masih belum ada permintaan daripada PBB untuk Malaysia berbuat demikian.

“Kita tidak boleh secara sendirian menghantar anggota tentera kita ke luar negara kerana tertakluk kepada undang-undang antarabangsa. Kalau PBB meminta negara seperti Malaysia di bawah panji-panji PBB sebagai pasukan pengaman, Insya-Allah kita boleh bantu tetapi ia mesti menerusi jemputan PBB,” katanya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri sesi Taklimat Kesiagaan Perkhidmatan Kesihatan ATM Dalam Membantu Negara Menghadapi COVID-19 . Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Jelas beliau, tentera Malaysia sudah banyak menyertai pelbagai misi sebagai pasukan tentera pengaman di bawah panji-panji PBB ke Lubnan, Filipina, Sudan, Sierra Leon serta Congo.

Sementara itu, Affendi ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku ancaman serangan siber oleh Israel, berkata pihaknya mempertingkatkan tahap keselamatan sistem pertahanan siber di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita memantau setiap masa sejak dua minggu lalu dan meningkatkan tahap keselamatan siber. Kita juga membuat kesediaan dengan melihat jika ada elemen serangan siber yang masuk ke atas keupayaan siber pertahanan,” katanya.

Katanya, pemantauan dilakukan oleh Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC) serta Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP).

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/817766/malaysia-sedia-hantar-pasukan-pengaman-ke-palestin