Hanya 13 PPV di Lembah Klang buka untuk ‘walk in’

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menetapkan bermula esok hanya 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang akan menerima individu untuk mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk-in’.

CITF berkata langkah itu diambil berikutan pihaknya mendapati kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV untuk ‘walk-in’ saban hari semakin berkurangan sejak ia dilaksanakan pada 2 Ogos lalu.

“Oleh itu, walk-in untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 PPV tertentu,” kata CITF dalam kenyataan.

PPV yang terpilih bagi melaksanakan vaksinasi secara walk-in bermula esok ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.

Turut menerima individu walk-in ialah PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Terdapat empat lagi PPV secara walk-in yang bermula Rabu dan Khamis iaitu PPV Le Pavilion Gamuda Garden di Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort manakala hari Khamis pula ialah di PPV Galaxy Mall Ampang serta di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Hanya 13 PPV di Lembah Klang buka untuk 'walk in'

Warga asing beratur untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil, 13 Ogos. – NSTP/Saifullizan Tamadi

Sementara itu, CITF memaklumkan bagi warga asing di Lembah Klang pula kaedah ‘walk-in’ untuk mereka dikhususkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) yang akan dilaksanakan hingga hari ini sahaja.

“Kaedah walk-in bagi warga asing akan digantikam dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula esok.

“Langkah ini diambil supaya proses vaksinasi warga asing yang menyaksikan sambutan amat baik selama tempoh ia dilaksanakan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

“Setiap warganegara dan warga asing yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan,” katanya.

Berikutan itu, warga asing yang masih belum mendaftar untuk PICK perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my supaya janji temu dapat diberikan.

CITF berkata langkah berkenaan hanya untuk penduduk Lembah Klang dan bagi penduduk di negeri lain program vaksinasi secara walk-in tetap diteruskan seperti biasa dan bergantung kepada negeri masing-masing.

Dalam pada itu, CITF berkata bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang disenaraikan yang berhampiran dengan kediaman.

“Sekiranya PPV berkenaan tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

“Walk-in juga adalah berdasarkan kaedah ‘first-come-first-serve’ (siapa cepat dapat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV berkenaan iaitu individu walk-in akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari itu sudah habis digunakan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/854391/hanya-13-ppv-di-lembah-klang-untuk-walk-mulai-esok

BACA JUGA : Kelar pergelangan tangan sendiri, isteri jumpa suami dah nyawa-nyawa ikan

CATEGORIES