Guru enggan vaksin mungkin ditukar sekolah – Menteri

Kementerian Pendidikan sedang melihat keperluan untuk memindahkan guru-guru yang enggan menerima vaksin ke sekolah atau tempat lain yang lebih sesuai selain mereka juga kemungkinan terlibat dalam pertukaran antara negeri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan guru terlibat tidak berinteraksi secara langsung dengan murid serta pada masa sama tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita sedang melihat bagaimana nak bawa keluar guru ini dengan menukar mereka ke tempat lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran antara negeri sebagai contoh.

Guru enggan vaksin mungkin ditukar sekolah - Menteri

Radzi (kanan) melihat persiapan pembukaan semula sekolah yang berada di Fasa 4 PPN di Kolej Vokasional Langkawi, hari ini.

“Jumlahnya kecil tetapi apabila kita selidik ke tahap setiap sekolah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita akan ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan pembukaan semula sekolah di sini bawah Fasa 4 di Kolej Vokasional Langkawi di sini semalam.

Terdahulu, beliau turut melawat beberapa sekolah di pulau peranginan ini termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Teriang, SK Kedawang pada semalam dan beberapa sekolah di Pulau Tuba dekat sini termasuk SMK Langkawi dan SK Lubuk Chempedak.

Menurutnya, hasil data yang diperoleh, pihaknya mendapati terdapat sekolah-sekolah tertentu yang mana terdapat beberapa guru mengajar satu subjek sama tidak mahu divaksinkan.

“Jadi bagaimana kita nak teruskan pengajaran dan pembelajaran jika berada dalam konteks tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga telah sekian lama memohon jasa baik guru-guru terlibat untuk mendapatkan vaksin.

“Berkaitan tindakan lain, kita menunggu apakah keputusan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tentang pendekatan yang akan diambil daripada sudut perkhidmatan awam kepada guru-guru ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Radzi, jumlah guru yang enggan menerima vaksin iaitu seramai 2,500 sebelum ini berkurangan kepada 2,000 orang.

“Jumlahnya semakin menurun kerana pada peringkat awal kita nasihatkan supaya mereka divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/09/26/guru-enggan-vaksin-mungkin-tukar-sekolah-negeri-lain/

BACA JUGA : “Kalau datang RUU355 ni, cabutan nombor ekor nak buat 100 kali pun boleh”

COMMENTS

Wordpress (0)