Guan Eng beri bayangan kerjasama dengan Umno

Guan Eng beri bayangan kerjasama dengan Umno

DAP kekal dengan pendirian untuk tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan UMNO ketika ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu hanya bersedia menerima kerjasama UMNO sekiranya parti Melayu itu mahu menyokong pembukaan semula Parlimen.

Jelas beliau, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah pun mengambil pendekatan “Khemah Besar” bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.

“Di sini kita ingin tekankan tentang isu memulihkan Parlimen. Sungguh pun kita sedia bekerjasama tetapi saya ingin tekankan di sini DAP tiada kerjasama politik dengan UMNO.

“Kita boleh bekerjasama UMNO kalau mereka (UMNO) hendak sokong usaha untuk membuka balik Parlimen, tiada masalah tetapi tidak ada kerjasama politik dengan UMNO khususnya kleptokrat.

“Ini adalah pendirian parti DAP, dan untuk membolehkan Parlimen dibuka semula kita akan kumpulkan semua tandatangan ahli Parlimen, termasuk daripada pihak kerajaan tidak kira apa-apa parti.

“Kalau mereka semua boleh sokong Parlimen dibuka, kita boleh tandatangan. Kita akan hantar memorandum dan kita merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong supaya menitahkan membuka semula Parlimen,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan penggal ke-19 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan; Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata persidangan Parlimen perlu dibuka segera bagi membincangkan isu rakyat dan keadaan semasa negara.

Guan Eng turut menempelak tindakan kerajaan yang membenarkan beberapa sektor dibuka semula termasuk sekolah dan stadium, namun gagal membuka Parlimen.

“Seramai 220 ahli Parlinen telah pun menjalani vaksinasi tetapi jalani vaksinasi tak boleh bermesyuarat. Apa guna mereka diberikan suntikan vaksinasi.

“Hari ini saya berasa sangat bangga bahawa kita adakan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan seramai lebih 600 wakil, tahniah dan syabas kepada DAP Negeri Sembilan.

“Seramai 600 wakil boleh hadir bermesyuarat, 220 ahli Parlimen tidak boleh bermesyuarat. Nampaknya DAP Negeri Sembilan lebih layak jadi kerajaan daripada Perikatan Nasional,” sindirnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata ketika ini negara memerlukan sebuah kerajaan yang menghormati keperlbagaian merangkumi semua dan menyatu padukan rakyat dalam usaha untuk melawan pandemik COVID-19.

Bagi pemilihan jawatankuasa peringkat Negeri Sembilan, seramai 44 calon tersenarai untuk dipilih mengisi 15 jawatan berkenaan.

Daripada 44 calon, seramai lima calon adalah wanita.

Konvensyen Biasa Negeri berlangsung mengikut jadual bermula 14 Mac hingga 5 Jun ini.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/kerjasama-dengan-umno-hanya-jika-sokong-buka-balik-parlimen-guan-eng-292793