Tular video matahari terbit dari utara di Sulawesi

Tular video matahari terbit dari utara di Sulawesi

Satu rakaman video yang memperlihatkan matahari terbit dari utara yang berlaku di Jeneponto, di sini, semalam viral di media sosial.

Kompas.com melaporkan, seorang guru di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) Binamu Jeneponto yang menyaksikan kejadian merakamnya menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di media sosial.

“Melaporkan dari MAN Binamu. Sesuatu yang sangat aneh sudah berlaku. Matahari berada di sebelah utara pagi ini, Khamis 17 Jun. Sekarang jam 8 pagi, tetapi matahari sudah berada di sebelah utara,” katanya dalam video berkenaan.

Turut menyaksikan kejadian itu, beberapa rakan guru berkenaan.

“Kami bersama rakan-rakan di Jeneponto menyaksikan sendiri kejadian aneh ini. Belum pernah dilihat sebelum ini, kebiasaannya matahari pagi terbit dari timur, tetapi ketika ini (8 pagi) sudah berada di utara, tidak pernah terjadi peristiwa ini,” katanya.

Selain itu, suara dalam rakaman video berkenaan turut mengaitkan kejadian itu ada kaitan dengan tanda-tanda hari kiamat.

Pihak Kompas.com kemudian mendapatkan penjelasan daripada Ketua Stesen Meteorologi Sultan Hasanuddin Makassar, Hari Triwibowo yang memaklumkan ia bukan petanda akan berlaku bencana buruk.

Sebaliknya, beliau berkata, fenomena itu berlaku setiap tahun.

Sementara itu, kakitangan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) WIlayah IV Makassar, Agusmin H ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Namun, katanya, kejadian itu berlaku akibat perubahan cuaca, iaitu cuaca sejuk dan panas.

Beliau berkata, fenomena matahari terbit dari utara disebut sebagai gerakan semu matahari (GSM)

“Apabila ia berlaku, kedudukan bumi condong sekitar 23 darjah. Putaran bumi di sekitar matahari yang tidak tegak lurus menjadikan hemisfera utara menerima banyak cahaya matahari dan sebaliknya berlaku di bumi selatan,” katanya.

Tambahan pula, kedudukan Jeneponto di Sulawesi Selatan berada pada garis lintang di selatan khatulistiwa.

Ia menyebabkan pada bulan-bulan tertentu seperti Mac hingga September kedudukan matahari seolah-olah akan terasa lebih terletak atau bergeser di utara dan puncaknya akan terasa pada Jun dan Julai.

Begitu juga sebaliknya pada September hingga Mac, matahari seolah-olah bergerak ke Selatan.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/06/719458/matahari-terbit-dari-utara