Tular desakan ‘kakitangan awam’ agar Muhyiddin berehat

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang tular di media sosial kononnya mewakili penjawat awam yang mendesak Yang di-Pertuan Agong merehatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

Kenyataan itu juga mencadangkan Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali dilantik sebagai “caretaker government” sehingga 2023, iaitu tamat penggal pilihan raya umum ke-14.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata kenyataan itu disifatkan tidak bertanggungjawab kerana cuba mengherat sektor awam untuk mencapai tujuan tertentu, malah ia sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.

tular

“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada kepada konsep neutral dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, tular kenyataan yang dipetik daripada akaun Facebook ‘Gerakan Kakitangan Awam Malaysia’ yang mendesak tindakan itu dilakukan segera bagi menyejukkan suasana politik negara yang tegang ketika ini.

Adnan menegaskan, “caretaker government” seperti disarankan adalah satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah.

“Malaysia sejak sekian lama mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

“Apatah lagi kerajaan ketika ini sedang giat melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara. Sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan program ini hanya akan mengheret negara dalam situasi yang tidak menentu sekali gus memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun Facebook yang menggunakan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia.

Katanya, tindakan tegas dan berat perlu diambil oleh individu yang terlibat bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Sementara itu, hasil carian FMT mendapati, akaun Facebook berkenaan gagal dikesan dipercayai sudah disekat atau dinyahaktif oleh pemilik akaun.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/18/kenyataan-desak-pm-jemaah-menteri-berehat-tidak-mewakili-seluruh-kakitangan-awam-kata-cuepacs/

BACA JUGA : Panas !!! Kronologi kes Caprice dengan Ebit Lew

COMMENTS

Wordpress (0)