Gempar !!! Status FB Ismail Sabri tentang ‘tutup pintu depan’ cetus spekulasi kalangan netizen

Gempar !!! Status FB Ismail Sabri tentang ‘tutup pintu depan’ cetus spekulasi kalangan netizen

Hantaran Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob di laman sosial tentang “pintu depan” mengundang seribu tanda tanya di alam maya.

Dilampirkan bersama gambarnya – yang juga menteri kanan (kluster keselamatan) – sedang menutup pintu pejabatnya. Hantaran yang disertakan kapsyen tergantung itu mengundang teka-teki.

“Saya dah tutup pintu depan tapi ………………..” katanya disertai emoji sedih.

Meskipun hantarannya itu tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan, di ruangan komen, nampaknya ramai juga warga maya mempunyai tafsiran sendiri terhadap kata-kata tersirat ahli parlimen Bera itu.

“Datuk harus teruskan bersuara agar menteri yang lain itu dengar masalah yang berlaku. Selagi sektor kilang dibuka maka lockdown (sekatan pergerakan) kali ini umpama tiada erti pada rakyat.

“Fikir-fikirkanlah Datuk. Jangan biarkan diri Datuk dipersalahkan oleh rakyat. Kerana satu kutu habis semua jadi mangsa,” tulis seorang warganet di hantaran tersebut.

“Pintu belakang kilang banyak,” tulis seorang lagi.

“Tapi ada ‘menteri sektor’ itu buka pintu belakang,” tulis yang lain pula.

Telahan warganet itu dipercayai merujuk kepada kebenaran beroperasi kepada sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, meskipun negara kini sedang dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sejak semalam.

Pada 30 Mei, Ismail Sabri mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh, kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu.

Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu, melainkan perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.

Pada 31 Mei, Putrajaya memutuskan mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh “total lockdown” 14 hari bermula semalam boleh mendapat pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Miti akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mengeluarkan surat yang membolehkan perniagaan beroperasi dalam tempoh “total lockdown”.

Kebenaran pembukaan kilang tertentu beroperasi sebelum ini mengundang kritikan beberapa ahli politik, antaranya Najib Razak yang mendakwa dengan pembukaan sesetengah sektor, banyak lagi kilang atau sektor lain yang berkaitan akan turut dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Dia meminta kerajaan tidak membiarkan PKP kali ini menjadi separuh masak – seperti sebelum ini – dan agar total lockdown kali ini tidak menjadi “tiga suku lockdown”.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali tampil menjelaskan isu penentuan sektor perkhidmatan penting semasa sekatan pergerakan terbaru, yang turut disokong Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan.

Baru-baru ini juga tular di media sosial imej surat didakwa dari Miti yang membenarkan operasi sebuah syarikat pengeluar arak, namun Ismail Sabri semalam mengarahkan semua kilang minuman keras menutup operasi serta-merta.

Beritya penuh : https://www.malaysiakini.com/news/577283