Gempar !!! PKR dakwa ada bukti cubaan sogok MP

Gempar !!! PKR dakwa ada bukti cubaan sogok MP

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dia akan berusaha mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berhubung dakwaan ada usaha untuk menyogok ahli Parlimen agar menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Saifuddin, dia akan menyerahkan beberapa bukti bagaimana sogokan itu dibuat.

“Dalam masa terdekat saya sebagai setiausaha agung PKR akan tulis (surat) kepada ketua pesuruhjaya SPRM dan mohon untuk mengadakan pertemuan dengannya.

“Kalau (Azam) sedia bekerjasama, saya akan beri beberapa pembuktian bagaimana cubaan sogokan ini sedang berjalan,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin juga menggesa SPRM agar tidak menjadi “alat” untuk menampung apa yang disifatkannya sebagai kerajaan yang rapuh.

Ketika diminta mendedahkan lebih lanjut berkenaan jumlah ahli Parlimen yang menerima tawaran, atau jumlah sogokan seperti didakwa, Saifuddin berkata dia tidak akan mendedahkannya pada mas ini.

“Kita ada semua maklumat. Sekarang kita nak lihat respons SPRM dahulu. Jika tiada respons, kita akan lakukannya menerusi cara lain yang wajar,” katanya.

Pada sidang media itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim melancarkan inisiatif baru parti itu bagi membantu wanita yang berdepan masalah, sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Pada minggu lalu, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail mendakwa dia menerima tawaran untuk menukar sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, SPRM mengeluarkan kenyataan yang menggesa dia dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan tawaran seumpama itu untuk membuat laporan.

Semalam, Natrah membuat laporan kepada SPRM.

Berhubung kes Natrah, Saifudin turut mendakwa yang jelas SPRM digunakan sebagai alat politik.

Dia membangkitkan kenyataan media yang dikeluarkan SPRM semalam, yang mengatakan Natrah menafikan ada ditawarkan RM10 juta.

Saifuddin berkata Natrah tak pernah menyatakan apa-apa tentang jumlah itu.

“Sejak dari awal, dia tak pernah sebut RM10 juta. Soalan saya, dari mana SPRM petik RM10 juta itu?

“Kalau dia ke pejabat SPRM, dan ditanya sama ada ditawarkan jumlah itu, sudah tentu dia jawab tidak. SPRM pula terus nafi yang dia ditawarkan RM10 juta,” katanya lagi.

Untuk rekod, SPRM dalam kenyataannya menyebut jumlah itu disebut oleh laman Facebook “Ops Johor”.

Sementara itu, Anwar mendakwa kerajaan PN sudah begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

“Mengapa pemimpin pilih untuk rasuah, guna kuasa, guna semua agensi kerajaan dan penguatkuasaan untuk beli dan dapat sokongan? Kerana mereka begitu terdesak kerana tahu sudah hilang sokongan majoriti.

“Hubungi mereka (ahli Parlimen), takutkan mereka. Ini kerana mereka sudah hilang sokongan majoriti,” kata Anwar.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565727