Gempar !!! Nama Ku Li dicadang sebagai PM Interim

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah adalah individu terbaik untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri interim, kata Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menerima beberapa pemimpin parti politik mengadap secara berasingan dalam tempoh dua hari ini untuk membincangkan penamatan darurat dan pembukaan semula Parlimen.

Meskipun tidak timbul desas desus tentang pelantikan Perdana Menteri interim, Zaid mencadangkan Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, untuk menyandang jawatan berkenaan, dengan mengatakan beliau mempunyai semua sifat yang sesuai.

“Sifat terpenting yang perlu dimiliki pemimpin negara sekarang adalah kepercayaan, dan Ku Li memilikinya,” kata Zaid kepada FMT hari ini.

“Saya rasa beliau juga akan mendapat sokongan dalam Umno. Beliau mempunyai karier yang panjang (dalam politik) dan saya rasa beliau sesuai menjadi Perdana Menteri interim.”

Tengku Razaleigh, 83, bekas pengerusi Bank Pembangunan Asia, juga adalah Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini, dan secara umumnya dianggap sebagai seorang ahli politik berpengaruh yang dihormati.

Ku Li, yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, telah berulang kali menyuarakan kebimbangannya mengenai kerjasama parti itu dengan Bersatu dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut meminta pemimpin parti yang memegang jawatan seperti menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk segera melepaskan jawatan mereka.

Walaupun Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah disebut-sebut sebagai calon jawatan tertinggi negara itu, menurut Zaid, Ku Li tetap menjadi taruhan paling selamat.

“Jika Dr Mahathir dipilih, (ini) akan menimbulkan pertikaian. Akan ada persoalan mengapa bukan Anwar (Ibrahim)? Mengapa bukan Azmin (Ali)? Mengapa bukan orang ini atau orang itu?” katanya.

“Saya rasa (pelantikan) Ku Li sebagai Perdana Menteri interim akan menghentikan semua ini, kemudian kita boleh bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang (PRU15).

“Sementara itu, kita mesti ada seseorang yang boleh kita percayai.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/09/ku-li-calon-terbaik-untuk-memimpin-negara-sekarang-kata-zaid/