GEMPAR !!! KPN dedah kartel dalam pasukan polis lindungi ‘kerja kotor’

GEMPAR !!! KPN dedah kartel dalam pasukan polis lindungi ‘kerja kotor’

Terdapat rangkaian atau “‘kartel” yang diwujudkan dalam pasukan polis dan didalangi pegawai kanan di peringkat pertengahan dengan motif untuk mendominasi pasukan itu bagi memudahkan mereka melakukan “kerja-kerja kotor”.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, “puak-puak tersebut” merancang untuk memastikan rakan sekerja mereka sama-sama dinaikkan pangkat, seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan.

Katanya, matlamat akhir rangkaian atau kartel segelintir anggota polis itu ialah memastikan seluruh pasukan tersebut dikawal dan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan dapat disembunyikan.

“Saya tahu perkara ini berlaku. Mereka ini akan wujudkan rangkaian sesama sendiri. Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, apabila mereka pula menjadi pegawai atasan dan mempunyai kuasa, mereka mula buat “kerja-kerja tidak senonoh”, termasuk bersekongkol dengan penjenayah di luar.

“Saya pandang serius perkara ini dan akan pastikan gejala ini disekat dan tidak terus berlaku.

“Saya tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak sabar menunggu saya berhenti,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia, hari ini.

Hamid berkata, walaupun terdapat segelintir anggota terpalit dalam kes melibatkan integriti sejak kebelakangan ini, namun tahap prestasi kerja pasukan polis masih utuh.

Malah beliau turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang turut membantu mendedahkan kegiatan tidak bermoral anggota polis.

“Saya sedia mendengar apa jua aduan orang ramai tentang salah laku warga polis. Saya akan pastikan siasatan yang adil dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan tindakan diambil sekiranya salah laku itu terbukti berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kunci utama setiap pegawai serta anggota polis sentiasa disegani dan disanjung tinggi ialah niat dan disiplin mereka.

Bahkan katanya, sempena tahun 2021, beliau mengimpikan semua anggota polis mengekalkan tahap disiplin yang tinggi.

“Cukup saya katakan, cara kerja warga polis tahun ini meningkat 60% dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di samping melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Jika dahulu, terdapat budaya dalam polis yang mana pegawai dan anggotanya ‘berlagak’ kononnya mereka mempunyai kuasa, tetapi kini perbuatan tidak baik itu tidak lagi berlaku.

“Saya juga sering mengingatkan kepada mereka agar tidak melengahkan siasatan yang dijalankan, selain jangan sesekali mengambil tindakan mengikut kaum atau agama tertentu,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/01/kartel-dalam-pasukan-polis-untuk-lindung-kerja-kotor-kata-hamid-bador/

COMMENTS

Wordpress (0)