Gempar !!! ‘Formula Perak’ sedang diusahakan untuk kerjasama PH-PN, kata sumber

Oleh MHDAILY

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sedang meneliti “formula Perak” ketika Yang di-Pertuan Agong bertemu pemimpin parti, kata sumber dalaman parti.

Sumber dalaman PN berkata, mereka mengharapkan “satu persefahaman” bersama Umno dan pembangkang bagi menangani kekacauan politik ketika ini tanpa perlu menukar kerajaan.

“Bezanya adalah, formula Perak menyaksikan Menteri Besar diganti. Tetapi ia juga adalah formula di mana pembangkang dan Ahli Parlimen kerajaan mencapai satu persefahaman,” katanya kepada FMT.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Selepas bekas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu disingkir dan Saarani Mohamad mengambil alih, kesepakatan dicapai di mana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilayan sama rata dengan peruntukan yang sama dan akan bekerjasama dalam memastikan kerajaan kekal stabil dalam menyelesaikan pandemik Covid-19 dan ekonomi.

Sumber dalaman parti itu berkata, mereka sedang melihat dua isu utama dalam mencari persefahaman.

Pertamanya adalah untuk memberikan peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan menjemput pembangkang untuk sama-sama menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembangkang kini marah kerana tidak menerima peruntukan. Kami tidak boleh menuruti apa yang Umno lakukan sebelum ini dan menghentikan peruntukan tahunan pembangkang,” katanya sambil menambah bahawa Ahli Parlimen pembangkang juga memerlukan dana untuk membantu rakyat ketika waktu sukar begini.

Satu lagi isu utama adalah kerahsiaan mesyuarat MKN ketika jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

“Kami mencadangkan supaya mereka turut sama duduk dalam mesyuarat supaya mereka tahu apa yang sedang kerajaan lakukan dan begitu juga dengan program vaksinasi.

“Tetapi jika maklumat itu bocor, tindakan akan diambil,” katanya.

Sumber dalaman itu berkata, perkara itu antara isu yang diteliti bagi mendapatkan kedua-dua gabungan bekerjasama dalam memerangi Covid-19.

Sumber dalaman PN berkata, yang pastinya pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan tahun ini di mana kerajaan merancang untuk mencapai 80% vaksinasi dan imuniti kelompok menjelang akhir Ogos.

Tetapi katanya, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang juga yang dijadualkan 16 hingga 20 Ogos ini juga masih belum pasti akan berlangsung.

“Terpulang kepada Agong untuk melanjutkan atau menamatkan Darurat,” katanya.

Sumber dalaman itu berkata, kerajaan juga sedang melihat cadangan Parlimen hibrid untuk diadakan bagi tempoh masa yang lebih singkat berbanding tempoh penuh selama enam minggu.

Seorang lagi pemimpin PN berkata, sebahagian menteri mendesak supaya darurat dilanjutkan sehingga akhir tahun untuk mengekang pergerakan dan mengurangkan angka jangkitan Covid-19.

“Mungkin kita boleh membuka Parlimen selama seminggu atau dua minggu bagi membincangkan Belanjawan 2021,” katanya.

Sementara itu, sumber dalaman PH berkata, mereka tidak mahu darurat disambung.

Katanya, Ahli Parlimen pembangkang lebih rela duduk di Parlimen dan membahaskan isu semasa daripada duduk di mesyuarat MKN yang mana keputusan sebahagian besarnya dibuat oleh kerajaan.

“Jika mereka membuat keputusan yang salah, kami semua akan turut dipersalahkan. Kami mahu memberikan pandangan kami di Parlimen,” katanya

Bagaimanapun katanya, dia tidak tahu sama ada Ahli Parlimen akan tetap mendesak supaya usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri jika Parlimen bersidang.

“Pastinya masih ada sebilangan ‘orang lama’ yang akan mendesak usul tidak percaya itu dibawa,” tambahnya.

Katanya, ada parti politik yang mungkin setuju dengan “formula Perak” kerana negara perlu terus bergerak ke hadapan.

“Bagaimanapun kami akan menunggu pengumuman dari istana, dengan harapan Parlimen dibuka semula. Darurat ditamatkan dan program vaksinasi dilaksanakan mengikut perancangan.”

Katanya, apa yang jelas, kerajaan gagal menangani krisis kesihatan dan langkah diperlukan untuk meningkatkan vaksinasi.

“Bayangkan, Agong sudah campur tangan kerana kerajaan gagal menguruskan negara dengan baik,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/10/pn-ph-usahakan-formula-perak-tamat-darurat-kemelut-politik/