Dr Hisham bayangkan sistem kesihatan 4 negeri bakal lumpuh

Dr Hisham bayangkan sistem kesihatan 4 negeri bakal lumpuh

Dr Hisham bayangkan sistem kesihatan 4 negeri bakal lumpuh.

Empat negeri masih menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri tersebut iaitu lebih 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat negeri yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) adalah Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

Hisham

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

“KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa langkah telah diambil oleh pihaknya iaitu:-

Penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Full COVID-19 Hospital, misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia;

Meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5;

Memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar;

Mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19;

Menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19;

Menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19;

Cadangan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital COVID-19;

Bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 di katil wad biasa dan di katil ICU;

Menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta; dan

Memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak COVID-19 dan vaksinasi.

Justeru, beliau menasihati negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk terus mengamalkan kepatuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi memastikan situasi di negeri-negeri tersebut dapat terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi, dan sosial.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-sistem-kesihatan-di-4-negeri-akan-lumpuh-jika-dr-noor-hisham-307194

BACA JUGA : Panas !!! Pergolakan dalam Umno, akhirnya Zahid buka mulut