Gempar !!! Bina kuil atas tapak masjid? Ini penjelasan MB

Bina kuil atas tapak masjid? Ini penjelasan MB. Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah meluluskan penggunaan tanah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Baru, Tampin, bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam, kata menteri besar.

Aminuddin Harun berkata dia kesal dengan pihak yang menyebarkan dakwaan itu melalui media sosial, sedangkan tiada keputusan atau kelulusan diberikan.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan di pejabat daerah.

“Sesiapa pun boleh mengemukakan permohonan ke pejabat daerah tetapi kelulusan belum tentu lagi, malah belum ada perbincangan mengenai perkara terbabit setakat ini.

“Kita harus menggunakan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu perkara dan bukannya terus melenting tanpa mendapatkan fakta sebenar sehingga boleh merosakkan hubungan baik kerana negara ini ada undang-undang yang perlu kita patuhi,” dia dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Takaful Tabung Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) di kediaman rasminya di Seremban, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru dilapor menghantar memorandum kepada wakil rakyat Repah yang menyuarakan bantahan terhadap dakwaan membesarkan pembinaan kuil di tapak yang pada awalnya dicadangkan untuk masjid.

Pembela tuntut polis, SPRM siasat

Kumpulan pendesak lantang Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), awal pagi tadi berkata jawatankuasa surau serta penduduk setempat tidak bersetuju dan menghantar memorandum kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka.

“Jika benar dakwaan bahawa tanah itu milik Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, maka sesuatu yang tidak kena sekiranya kelulusan cadangan membina kuil itu berlaku.

“Harapnya tiadalah apa-apa tangan tangan politik yang mengatur di belakang tabir kerana jika diikutkan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri,” kata pengerusinya Aminuddin Yahaya.

Bina kuil atas tapak masjid? Ini penjelasan MB

Dia menggesa JHEAINS memberikan penjelasan berkaitan dakwaan itu serta menuntut polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasatnya jika terdapat kepincangan.

“Jika ada orang politik yang terlibat, maka seretlah segera ke muka pengadilan.

“Kita mahu lihat siapakah yang sanggup mempertaruhkan agama dan keharmonian masyarakat demi habuan duniawi itu,” katanya.

Aminuddin juga meminta penduduk setempat membuat laporan polis dan SPRM.

“Kami akan cuba menghubungi wakil penduduk untuk menawarkan apa-apa yang boleh dibantu, jika perlu.

“Manakala, kami juga sedang cuba menghubungi Jabatan Agama Islam Negeri untuk penjelasan lanjut,” katanya.

Pembela memberitahu Malaysiakini bahawa mereka akan mengadakan pertemuan dengan JHEAINS petang ini bagi mendapatkan maklumat lengkap.

Setakat laporan ini ditulis, belum ada perkembangan dimaklumkan.

JHEAINS: Kuil berhampiran, bukan dalam tapak masjid

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Zaidi Ramli berkata, tanah kira-kira 0.6 hektar itu sudah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

Katanya, memang terdapat sebuah kuil berhampiran tapak itu, namun bukan di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.

“Kita (JHEAINS) memang ada cadangan untuk memajukan kawasan itu termasuk membina sebuah masjid tetapi disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu belum dapat dimulakan.

“JHEAINS juga sudah mencadangkan kepada penduduk taman berkenaan supaya menubuhkan Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Indah Baru.

“Pembinaannya dirancang akan dibuat menggunakan dana wakaf dan sumbangan daripada pihak swasta,” dia dipetik sebagai berkata ketika dihubungi.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/592080

BACA JUGA : Kebenaran rentas negeri akan diumumkan dalam masa terdekat – Menteri

COMMENTS

Wordpress (0)