Kerajaan membuat keputusan drastik dengan menggantung kebenaran rentas negeri melalui konsep gelembung perjalanan hijau yang mula berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kaedah gelembung pelancongan bersasar itu meliputi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk gantung pergerakan rentas negeri PKPP ke negeri PKPP lain waima tujuan pelancongan,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan rasional penggantungan gelembung itu, namun ia dipercayai ekoran ada pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan kebenaran khas tersebut.
Ini termasuk melibatkan individu ternama yang berstatus selebriti apabila kegiatan mereka terbongkar didedahkan menerusi platform media sosial dan mencetuskan kemarahan rakyat.
Menerusi gelembung berkenaan, individu dari negeri yang bertaraf PKPP perlu menaiki bas persiaran dan diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar sah terus ke negeri PKP lain.
Mereka juga perlu menginap di hotel ditetapkan dalam usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merancakkan sektor pelancongan domestik yang terkesan akibat isu Covid-19.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk mewajibkan aplikasi MySejahtera di semua tempat awam, premis perniagaan, pejabat dan rumah ibadat.
“Langkah ini bagi memperkasakan sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang dibangunkan pihak Bank Negara Malaysia bersama Kementerian Kesihatan,” tegas beliau.
Sistem itu yang berdasarkan rekod semasa MySejahtera, membolehkan kerajaan bertindak proaktif mengawal penularan wabak Covid-19 khasnya di kawasan berlaku peningkatan kes.
Ia memudahkan penilaian semula risiko dengan pelaksanaannya menyaksikan minggu lalu 22 bazar Ramadan di enam negeri ditutup ekoran dikesan bebas dikunjungi pesakit pandemik itu.
“Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan akan dibuat kerajaan persekutuan selepas diputuskan oleh MKN,” kata Ismail Sabri.
Justeru, beliau dengan tegas menafikan makluman tular yang disebar luas melalui wadah media sosial konon kerajaan akan mengisytihar perintah berkurung sepenuhnya minggu ini.
Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/gelembung-pelancongan-bersasar-digantung-serta-merta/