Gelabah takut dikompaun Polis, lelaki pecut Honda Civic

Gelabah takut dikompaun Polis, lelaki pecut Honda Civic

Gelabah takut dikompaun Polis, lelaki pecut Honda Civic. Mekanik berusia 23 tahun melarikan diri dari polis sejauh 13 kilometer dalam kejadian di Jalan Tanjung Tokong, di sini, malam tadi.

Lelaki terbabit bertindak demikian kerana bimbang dikenakan kompaun berikutan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki terbabit tiba-tiba memecut kenderaannya sebaik melihat anggota polis yang menaiki kereta peronda (MPV) melakukan rondaan di stesen minyak Batu Ferringghi.

Curiga dengan tindakan lelaki itu, polis mengejar Honda Civic dipandu suspek sehingga ke Persiaran Gurney sebelum dia berpatah balik ke Jalan Tanjung Tokong.

“Dia berjaya ditahan polis pada jam 9.30 malam ketika melalui hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tanjung Tokong.

“Pemeriksaan pada badan dan kenderaan dinaiki lelaki itu tidak menemukan sebarang objek yang mencurigakan serta didapati tiada rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Soffian berkata, siasatan mendapati lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu tinggal di Taman Tun Sardon, Gelugor, di sini dan ke Batu Ferringhi untuk berjumpa rakan.

Katanya, ketika hendak pulang, dia melarikan diri dari polis kerana bimbang dikenakan kompaun berikutan keluar dari rumah melebihi radius ditetapkan.

“Dia dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melakukan pergerakan melebihi radius 10 kilometer tanpa alasan munasabah.

“Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 5(a)(i) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 dan Peraturan 18(1) PPPPB 2021,” katanya.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/724962/pecut-kereta-sebab-takut-kena-kompaun

Jika Anda Terlepas: PKPD : Tular pekerja dipindahkan, ini penjelasan Polis