Ganti semula KWSP 10K ambil masa 4 tahun, ini penjelasannya. Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat Pengeluaran Khas sehingga tiada baki dari Akaun 2 perlu menunggu lebih lama sebelum layak membuat pengeluaran lain yang dibenarkan KWSP sebelum ini seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.
Tempoh berkenaan mungkin mengambil masa sehingga empat tahun, bergantung kepada jumlah dan konsistensi caruman.
Keadaan sama berlaku bagi ahli yang terpaksa mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 bagi menampung jumlah dalam Akaun 2 yang tidak cukup RM10,000 atau menggunakan keseluruhan jumlah Pengeluaran Khas yang dibenarkan dari Akaun 1.
Menurut KWSP, ahli perlu mengganti semula amaun yang telah dikeluarkan dengan tambahan 20 peratus daripada amaun itu.
Berdasarkan ilustrasi yang dikeluarkan KWSP, sekiranya ahli mengeluarkan RM10,000, mereka perlu menggantikan RM12,000.
“Tambahan 20 peratus yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/ kerugian dividen ke atas jumlah pengeluaran berkenaan dengan purata 5.0 peratus dividen tahunan bagi penggantian yang dijangka mengambil masa sehingga empat tahun tertakluk kepada jumlah caruman ahli dan konsistensi dalam mencarum.
“Langkah ini dibuat bertujuan untuk memastikan simpanan dapat dibina semula dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan,” kata KWSP.
KWSP berkata, caruman baharu yang diterima akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 termasuklah tambahan 20 peratus lagi daripada amaun yang telah dikeluarkan.
Selepas penggantian semula selesai, caruman ahli akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus ke dalam Akaun 1 dan 30 peratus ke dalam Akaun 2.
Situasi sama juga dihadapi oleh pencarum yang membuat pengeluaran RM10,000 dari Akaun 2 tetapi masih memiliki baki dalam akuan terbabit.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang telah mengambil pengeluaran khas RM10,000 dari Akaun 1, maka semua caruman bulanan akan dimasukkan ke Akaun 1.
“Caruman ini akan berhenti hanya selepas RM10,000 bersama tambahan 20 peratus iaitu RM2,000, kembali ke Akaun 1.
“Penggantian tambahan 20 peratus bukanlah kadar faedah yang dikenakan atau perlu dibayar oleh ahli. Langkah ini dibuat bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi selepas persaraan,” kata KWSP dalam soalan lazim yang diterbitkan di https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/faq.
Menurut KWSP, jika jumlah caruman bulanan ahli adalah RM500, kesemuanya akan masuk ke Akaun 1 selama dua tahun (menjadikan jumlah RM12,000), sebelum 30 peratus disalurkan semula ke Akaun 2.
Bagi menjawab soalan implikasi Pengeluaran Khas ini terhadap kelayakan untuk pengeluaran prapersaraan yang lain, KWSP berkata, kelayakan bagi permohonan pengeluaran prapersaraan lain seperti pengeluaran perumahan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya adalah tidak terjejas sekiranya ahli mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 selepas Pengeluaran Khas.
Untuk rekod, bayaran Pengeluaran Khas akan menggunakan sepenuhnya simpanan dalam Akaun 2 terlebih dahulu.
Sekiranya ia tidak mencukupi, simpanan dalam Akaun 1 akan digunakan.
Bagaimanapun, ahli perlu mengekalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1.
TONTON:
BACA:
Penceramah bebas ditahan lakukan amang seksual anak rakan sendiri
Kedai emas diserbu orang ramai selepas jadi ‘jutawan’ KWSP
Kerajaan tawar Skim Pembiayaan Perumahan untuk yang susah beli rumah, ini cara mohon