Firdaus Wong terus dedah video sumpah laknat, Caprice buat simbol ‘kiss’

Kes video lucah yang didakwa membabitkan seorang pendakwah ter­kenal semakin panas apabila satu rakaman menunjukkan sumpah laknat seorang individu disebarkan di laman sosial semalam.

Video berdurasi 46 saat itu yang didakwa sebagai abang salah seorang mangsa gangguan sek­sual diambil dari bahagian belakang tubuh lelaki berkenaan yang telah diubah suai suara dan wajahnya dimuat naik di dalam saluran Te­legram penceramah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung.

Lebih mengusutkan keadaan apabila penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice memuat naik gambar berupa wajah entiti iblis, jam pasir dan ikon mengajuk aksi ciuman yang dikaitkan dengan pendakwah tersebut di Instagram miliknya hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengikutnya.

Firdaus Wong dalam komennya di dalam Telegram tersebut mendakwa, dia berkongsi rakaman itu selepas mengadakan perbincangan selama dua jam dengan ahli keluarga mangsa menerusi Google Meet pada Rabu lalu.

Katanya, ahli keluarga ­mangsa sangat menyokong tindakan tersebut yang bertujuan untuk mendedahkan perkara sebenar apa yang berlaku ketika ini.

“Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) dari abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya telah menerima mesej serta panggilan video lucah sehingga dibelenggu kemurungan, tekanan dan cubaan membunuh diri,” katanya.

Firdaus Wong terus dedah video sumpah laknat, Caprice buat simbol 'kiss'

Tangkap layar video dibuat oleh abang mangsa gangguan seksual yang dimuat naik di saluran Telegram Firdaus Wong semalam.

Tambahnya, saat yang dinanti akan tiba juga kelak apabila ­mangsa-mangsa dan ahli ­keluarga mereka akan tampil ke khalayak demi menyatakan sebuah kebenaran.

Menurut Pengasas dan Pre­siden Multiracial Reverted Muslims tersebut, setakat ini nama dan wajah ahli keluarga mereka yang terlibat dirahsiakan selain memberikan pendapat bahawa ia merupakan jihad bagi menyatakan sokongan kepada mangsa yang menerima mesej seumpama itu.

Setakat petang semalam, tulisan terbaharu di saluran Te­legram tersebut itu telah dilihat lebih 50,000 kali dan kali terakhir disunting pada pukul 9.11 pagi.

Sebelum ini, Firdaus Wong turut memuat naik tulisan menyatakan mangsa serta ahli keluarga beberapa individu terlibat ada menghubunginya untuk memberi kata-kata semangat selepas tindakannya mendedahkan kes itu mendapat kecaman ramai orang.

“Antara kata-kata semangat yang saya terima ialah brother kena terus kuat untuk memberikan kekuatan kepada kami. Bila kami lihat brother kuat, maka kami pun jadi kuat semula.

“Kami kasihan brother kena maki hamun setiap hari kerana mahu menegakkan keadilan buat kami. Kami baca komen-komen itu semua terasa macam hendak balas tetapi kami ingat pesan brother agar kami bersabar,” tulisnya.

Pendedahan video sumpah laknat itu dibuat rentetan daripada hantaran di laman Facebook Firdaus Wong yang menyatakan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam tempoh terdekat.

CAPRICE sekali lagi bertindak memuat naik gambar iblis dalam Instagramnya.

Sementara itu, sekutu Firdaus Wong, Caprice turut menerima kecaman dan persoalan daripada pengikutnya selepas memuat naik gambar berupa wajah entiti iblis dan jam pasir di laman Instagram miliknya semalam.

Imej mahkluk terkutuk dengan lidah terjelir itu turut disertakan dengan perkataan ‘husnudzon’ (bersangka baik) secara sinis.

Ini kali kedua Caprice memuat naik gambar itu selepas melakukannya pada 27 Julai lalu.

Selain itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, turut memuat naik gambar berupa jam pasir dipercayai membawa simbolik menunggu waktu atau masa untuk melakukan pendedahan mengenai kes itu.

Dia juga mengajuk aksi lucah yang didakwa melibatkan pendakwah tersebut seperti yang terdapat di dalam rakaman video tular sebelum ini.

Dalam satu soal jawab dengan pengikutnya, penyanyi lagu Wat Lek Wat Peace itu membalas soalan dengan menunjukkan sebuah video dirinya tanpa suara.

“Yang video itu sahih ke Cap (Caprice)?” soal seorang pengikutnya.

Dia kemudian hanya membalas persoalan tersebut dengan sebuah video dirinya tanpa suara seakan-akan mengajuk aksi membabitkan pendakwah tersebut seperti yang terdapat di dalam rakaman tular sebelum ini.

Caprice menjadi sasaran kutukan netizen selepas dia melancarkan perang terhadap beberapa golongan yang telah mencemar kesucian agama dan bangsa termasuk pedofilia setibanya dari Jordan dan Mesir pada 21 September lalu.

Walaupun tidak menyatakan secara tepat siapa yang dimaksudkan tetapi rata-rata netizen mengaitkan pendedahan itu de­ngan pendakwah tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, polis te­lah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video dan mesej lucah di saluran Te­legram yang didakwa melibatkan pendakwah terkenal tersebut.

“Siasatan dilakukan kepada pendakwah berkenaan dan mereka yang menyebarkan video serta mesej lucah tersebut.

“Kita akan mengenal pasti mereka yang terlibat untuk dipanggil bagi memberi ketera­ngan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak semalam.

Terdahulu, polis sebelum ini membuka kertas siasatan berhubung penularan video serta mesej lucah mengenai kes tersebut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Bukit Aman telah memulakan siasatan ke atas individu yang didakwa di dalam video lucah dan mereka yang menyebarkan rakaman tersebut.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/09/25/firdaus-wong-dedah-video-sumpah-laknat-caprice-buat-kiss/

BACA JUGA : Panas !!! Ibu mangsa gangguan seksual pendakwah terkenal pula buat sumpah laknat

COMMENTS

Wordpress (0)