Faizal akui keputusan jual Istana dibuat waktu beliau jadi MB Perak.Keputusan menjual secara tender terbuka kawasan yang menempatkan sebuah istana lama dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan bukan keputusan individu.
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, keputusan itu telah diputuskan secara bersama oleh barisan Exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar ketika ini, Datuk Saarani Mohamad.
“Betul, keputusan itu (penjualan) dibuat sewaktu zaman saya dan ketika itu Datuk Saarani duduk di sebelah kanan saya dalam menyuarat Exco. Kami sama-sama membuat keputusan, saya tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian.
“Jadi, saya harap kerajaan negeri jangan cakap saya buat keputusan seorang. Awak juga duduk dalam mesyuarat dan kita buat keputusan secara bersama.
“Jadi, jangan tuduh orang lain kerana keputusan yang dibuat secara bersama. Apakah sewaktu kita di dalam kerajaan, kita tidak setuju sesuatu perkara dan diam. Itu maknanya tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga yang memerlukan bantuan rumah di Manjoi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan tersebut dibuat kerana tiada sebarang bantahan dalam kalangan Exco mahupun orang awam ketika cadangan pembatalan tanah rizab istana itu diadakan Januari lalu.
“Kita telah lalui banyak perkara yang tidak perlu saya dedahkan. Semua pihak telah dimaklumkan dan bersetuju untuk keputusan itu dibuat. Begitu juga dengan orang awam, tiada bantahan yang kami terima pada ketika itu.
“Biasanya, jika kita buat hebahan umum, akan ada tujuh atau lima bantahan tetapi yang ini, memang tiada. Kosong,” katanya.
Sementara itu, beliau juga amat bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak untuk bangunan warisan itu terus dipelihara dan baik pulih.
Bagaimanapun beliau berkata, kawasan di sekeliling bangunan bersejarah itu boleh dibangunkan supaya boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Jadi, kalau kita ada cadangan lain, alhamdulillah. Kalau kerajaan ada duit untuk buat. Bagaimanapun, dalam masa sama, saya berharap usaha untuk menjaga dan memelihara warisan perlu dilakukan selain pembangunan untuk keperluan rakyat yang juga mesti diutamakan.
“Kedua-dua perkara ini perlu berjalan seiring. Bagi bangunan warisan, saya sepenuhnya bersetuju, semua bangunan lama termasuk di Ipoh perlu dipelihara,” katanya.
Saraani dalam kenyataannya pada 22 September lalu memberitahu, kerajaan negeri menangguhkan proses tender bagi penjualan tanah yang menempatkan istana lama itu untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bantahan umum terhadap penjualannya.
Jelasnya, penangguhan itu juga untuk membolehkan kajian terperinci dijalankan terhadap kawasan tapak istana lama seluas itu 2.092 hektar itu.
Berita penuh: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/jual-istana-bukan-keputusan-saya-seorang-ahmad-faizal/