Etika berpolitik jadi punca PKR tolak sertai PN – Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan yang dia tidak akan menyertai “golongan pengkhianat” meskipun ditawarkan jawatan dalam kerajaan.

Dalam dialog anjuran Majlis Profesor Negara di Kajang hari ini, Anwar ditanya kenapa dia tidak bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai isu peribadi antara satu sama lain.

Menjawab soalan tersebut, ahli parlimen Port Dickson itu mengaskan bahawa dalam politik memerlukan etika.

“Dalam politik ini kita ada etika, golongan pengkhianat parti masing-masing bersekongkol untuk tubuh kerajaan.

“Dari segi etika, kita kena fikir, apakah kita mahu bersekongkol dengan kelompok pengkhianat yang berkuasa?” katanya.

Menerusi ‘Langkah Sheraton’ Februari tahun lalu, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama penyokongnya keluar parti, manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula memutuskan parti itu keluar daripada PH.

Mereka berganding bahu bersama parti-parti pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan PN.

Keluarnya Bersatu daripada PH membawa kepada tumbangnya kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan. Harapan PH untuk menyaksikan peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar juga tidak kesampaian.

Kata Anwar, meskpun kerajaan dibentuk oleh golongan ‘pengkhianat’, dia memberitahun Muhyiddin bahawa selaku ketua pembangkang, dia akan akan menyokong kerajaan sekiranya ia membantu rakyat, menghentikan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tapi tak berlaku,” katanya.

Anwar turut membidas parti komponen PN, PAS yang didakwanya hanya mengikut pihak mana yang menang.

“PAS ini dia ikut siapa yang menang. Masa (bekas perdana menteri) Najib (Razak), dia sokong Najib.

“Masa Tun (Mahathir), dia sokong Tun,” katanya.

Tak perlu lompat parti

Beberapa bulan kebelakangan ini, Anwar mendakwa dia mempunyai bilangan sokongan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Timbul desas-desus bahawa dia mengadakan rundingan dengan Ahmad Zahid Hamidi, bagi menjalin hubungan kerjasama antara PKR dan Umno.

Pun begitu, Anwar dilaporkan berkata bahawa perbincangan berkenaan masih “terlalu awal”.

Ketika ditanya apakah dia juga mencari jalan untuk membentuk kerajaan yang disokong ‘pengkhianat’ apabila mengumumkan bahawa dia mempunyai cukup sokongan, Anwar tangkas menepis soalan itu dengan membangkitkan soal mandat rakyat.

“Tak betul. Kita tak bangkitkan soal lompat parti. Pertamanya, mandat itu pada siapa? Mandat itu (diberikan) kepada PH.

“Apa janji dalam pilihan raya? Janji PRU – Mahathir (pegang jawatan) sementara, kemudian bagi pada Anwar.

“Bukan kata kena khianat atau lompat, (tapi) ikut keputusan.

“Soalan sama ada kita terima pengkhianatan atau tak? Saya jawab tidak,” katanya lagi.

Sebagai bekas pemimpin Umno, Anwar turut ditanya mengenai perpecahan yang sedang berlaku dalam parti itu.

Meskipun soalan tidak ditanya secara khusus, umum mengetahui bahawa sebahagian pemimpin Umno mahu Ahmad Zahid berundur daripada jawatan presiden.

“Dalam Umno ini, dalam pemerhatian saya, dalam parti itu harus ada disiplin dan muafakat dalaman. Tak boleh umpamanya bertindak mempertahankan jawatan dia,” kata Anwar.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/570203