Enggan minta maaf : Saya tak petik pun nama dia, kata Ketua Pemuda Umno kepada Maszlee

Enggan minta maaf : Saya tak petik pun nama dia, kata Ketua Pemuda Umno kepada Maszlee

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki enggan memohon maaf kepada bekas menteri pendidikan Maszlee Malik dan bertegas mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Kata Asyraf, dia tidak pernah memetik nama sesiapa termasuk Maszlee Malik ketika membuat kenyataan mendesak KPM menarik balik buku teks itu.

Pun begitu, ketua pemuda Umno itu tetap mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai pihak yang bertanggungjawab ‘mengagung-agungkan komunis’ dalam buku tersebut.

“Cuba semak balik saya punya kenyataan, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee), saya hanya beritahu soal kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat ini perlu di tarik balik dan perlu dipinda.

“Dan penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan berlaku zaman kerajaan Pakatan Harapan,” katanya mengulas desakan permohonan maaf dibuat oleh Maszlee.

Asyraf berkata demikian semasa sesi perbincangan yang disiarkan di laman Facebook Pemuda Umno Malaysia yang bertajuk ‘buku teks sejarah dimanipulasi-komunis pula diagungkan?, malam tadi.

Terdahulu, Maszlee berkata dia sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan undang-undang kepada Asyraf.

Ahli parlimen Simpang Renggam itu meminta Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang dibangkitkannya sebelum ini.

Maszlee menjelaskan proses penulisan buku teks itu sudah bermula pada tahun 2017 dan ketika itu menteri pendidikan Mahdzir Khalid daripada parti Umno.

Bagaimanapun, kata Asyraf semalam dakwaannya itu berdasarkan kelulusan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) pada 24 April 2018 dan kemudiannya perlu mendapat kelulusan kabinet bagi membolehkan proses pencetakan.

Dakwa Asyraf, pada tarikh 24 April itu, kerajaan BN telah membubarkan parlimen dan jemaah kabinat BN sudah terbubar.

“Antara perkara menjadi pertikaian ataupun menjadi isu, yang peringkat Pemuda (Umno) sendiri cetuskan adalah apabila kita melihat apa berlaku dibawah kerajaan PH.

“Tapi ramai mengatakan Kementerian Pendidikan kata 24 April 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

“Tapi, kena ingat parlimen dibubar pada 7 April 2018, persoalannya kalau sudah diluluskan di DSKP pada 24 April, saya difahamkan biasanya kabinet yang perlu meluluskan sebelum proses penulisan buku teks ini akan mula dilakukan dan akhirnya dicetak.

“…dan kena ingat percetakan buku teks untuk Sejarah Tingkatan 4 ini dibuat pada tahun 2019.

“Jadi, di antara April 2018 hingga 2019 proses penulisan itu berlaku bukan zaman kerajaan BN kerana Parlimen sudah terbubar, 24 April DSKP ini diluluskan sebagai asas untuk penulisan buku teks ini dan dicetak,” katanya lagi, malam tadi.

Untuk rekod, walaupun parlimen dibubar pada 7 April 2018 – ketika tempoh pilihan raya umum dari tarikh kempen ke hari mengundi – Malaysia masih ditadbir oleh kerajaan sementara (care taker) yang masih dikendalikan barisan kabinet BN yang sama.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 25 Feb lalu turut menegaskan buku teks sejarah tingkatan empat melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pelbagai proses, sebelum diperakukan sejak April 2018.

Proses-proses tersebut, kata KPM, melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

Buku teks itu juga melibatkan pakar rujuk negara, Prof Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr Ho Hui Ling (UM); Prof Sivamurugan Pandian (USM); Prof Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof Madya Bilcher Bala (UMS).

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/564542