Ekonomi : Malaysia dilapor ketinggalan berbanding Indonesia

Oleh MHDAILY

Ekonomi : Malaysia dilapor ketinggalan berbanding Indonesia.DALAM pada ahli-ahli politik Malaysia melaksanakan pelbagai strategi untuk mengekalkan kuasa atau mencari kuasa, negara semakin hari semakin dipermalukan dan dipersendakan.

Agensi berita ekonomi Bloomberg dalam satu laporan pada 19 Ogos, antara lain berkata, bon ringgit kini telah ditinggalkan di belakang oleh bon rupiah. Bon adalah surat jaminan hutang. Kalau dalam kalangan orang biasa dipanggil ‘IOU’ atau saya berhutang dengan awak.

Yang dimaksudkan oleh laporan Bloomberg itu adalah pinjaman yang dibuat dalam mata wang rupiah lebih dihargai pelabur berbanding ringgit. Untuk lebih mudah difahami, kita guna ukuran yang kita lebih biasa iaitu kadar tukaran ringgit dengan rupiah. Dahulu kalau disebut rupiah, kita semua tahu nilainya sangat rendah berbanding ringgit.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH πŸ‘‡πŸ»πŸ‘‡πŸ»πŸ‘‡πŸ»
SAMBUNGAN ARTIKEL πŸ‘‡πŸ»πŸ‘‡πŸ»πŸ‘‡πŸ»

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak lagi. Hatta dalam suasana Covid-19 pun kadar tukaran rupiah lebih kukuh daripada ringgit kerana kepimpinan dan ekonomi Indonesia di bawah Presiden Joko Widodo (Jokowi) diyakini.

Menurut Bloomberg, kemerosotan nilai bon ringgit kerana unjuran fiskal yang semakin buruk, ditambah pula oleh ketidaktentuan politik.

Malaysia

Bon yang mempunyai tempoh matang 10 tahun yang sering dijadikan penanda aras (benchmark) pinjaman kerajaan, tewas kepada bon Indonesia. Perolehan tambahan bon ringgit menguncup kepada 305 titik asas (basis points) iaitu paras paling rendah dalam tempoh tiga tahun.

Oleh sebab bon kerajaan diniagakan di pasaran modal, naik turun harganya mempengaruhi keyakinan dan penarafan pelabur. Negara dengan bonnya mendapat penarafan tinggi boleh meminjam dengan lebih mudah dan murah. Sebaliknya negara yang penarafan bonnya rendah lebih sukar meminjam dan kadar faedahnya lebih tinggi.

Selain pemerintahan Malaysia yang tidak stabil akibat krisis politik, penarafan bon Malaysia juga merosot kerana kerajaan Malaysia berhutang lebih besar dari Indonesia.

Dulu kita dengar Indonesia hidup dengan berhutang termasuklah daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tetapi sekarang Malaysia yang lebih banyak berhutang.

Tahun lalu di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), hutang kerajaan meningkat kepada 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 53 peratus pada 2019. Hutang kerajaan Indonesia pula 38.50 peratus daripada KDNK pada 2020.

Bloomberg memberi amaran bahawa unjuran terhadap bon ringgit yang semakin malap boleh menghalang kemasukan tabungan asing dan menyukarkan usaha kerajaan menampung defisit belanjawan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sejak pandemik melanda awal tahun 2020, kerajaan telah berhutang dengan banyak bagi menampung kekurangan hasil, merangsang ekonomi dan memberi bantuan tunai kepada golongan miskin.

Untuk mudah faham kedudukan hutang kerajaan sekarang, kita ambil jumlah bayaran balik dan faedah hutang tahun ini.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM39 bilion bagi tujuan itu atau cukup untuk memberikan RM1,192 kepada setiap orang penduduk Malaysia.

Realitinya memang Malaysia kalah kepada Indonesia dari segi kepimpinan. Maaf cakaplah kalau saya kata, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah bandingan bagi Jokowi, manakala bekas Menteri Kewangan pula, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bukanlah bandingan kepada Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.

Kita sedang mengalami krisis kepimpinan dan pewarisan politik yang kronik. Perubahan Perdana Menteri dan pengembalian kuasa kepada UMNO belum tentu akan membantu memulihkan imej dan kewibawaan negara.

Sikap kebanyakan orang kita yang memandang rendah terhadap Indonesia dibalas balik dengan sekelip mata oleh rampasan kuasa PN yang disusuli oleh kejatuhan taraf negara kita dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi dan pentadbiran.

Agaknya itulah balasan terhadap orang yang berasa dirinya lebih baik daripada orang lain. Wallahuaklam.

Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Berita Penuh :https://premium.sinarharian.com.my/article/153086/mediasi-kritis/cetusan/kita-mula-kalah-kepada-indonesia

BACA:Β Panas !!! Muhyiddin bakal dilantik Menteri Mentor?