Ekonomi makin buruk jika undi percaya dibuat September

Oleh MHDAILY

Keadaan ekonomi akan bertambah buruk dengan sebarang penangguhan dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut dua ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito dan Mohamed Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yakin pengusaha perniagaan kecewa undi percaya berkenaan akan ditangguhkan hingga bulan depan, seperti yang diumumkan Muhyiddin semalam.

Kata Ferlito, pemerhati pasaran kecewa kerana tidak mendapat tanda kejelasan dan hala tuju yang diharapkan semasa ucapan perdana menteri kepada seluruh negara semalam.

Katanya, indeks keyakinan pengguna dan perniagaan menjunam dan pelabur bimbang tentang persekitaran perniagaan yang tidak menentu.

“Pelabur tidak tahu apa yang boleh mereka jangka pada masa hadapan,” katanya.

“Ini tambahan kepada hakikat pengguna tidak dibenarkan berbelanja atau mereka tidak boleh berbelanja kerana kuasa beli merosot.

“Walaupun banyak industri dapat beroperasi, produk yang mereka hasilkan perlu mencari pasaran. Jika tidak, stok hanya akan terkumpul di gudang atau dijual di luar negara.

“Pasaran sekarang terkunci dan kita tidak tahu berapa lama lagi keadaan ini akan berlarutan.”

Ferlito berkata, lebih baik jika persoalan sama ada kerajaan semasa masih kukuh dijawab bulan ini kerana perniagaan perlu dapat gambaran jelas mengenai strategi kerajaan untuk keluar daripada wabak dan menghidupkan kembali ekonomi.

“Tanpa strategi yang jelas untuk menangani hal ini, keadaan akan menjadi lebih buruk bagi pengusaha perniagaan dan rakyat,” katanya.

Aslam berkata, kegiatan berpolitik akan meningkat bulan ini dan akan menambah kepada ketidaktentuan terhadap perniagaan yang tidak disukai pelabur.

Katanya, berbanding siapa yang berkuasa, perniagaan lebih peduli tentang dasar-dasar yang akan dilaksanakan untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Ini mengenai apa yang kerajaan lakukan, seberapa efektif dasarnya dan sama ada ia bersedia melakukan perubahan yang berani dan substantif terhadap sistem semasa,” kata Aslam.

Beliau berkata, kerajaan semasa gagal memperbaiki situasi Covid-19 dan ekonomi walaupun dalam keadaan darurat.

“Tidak boleh ada lagi perubahan kepada model lama,” katanya.

“Siapa pun yang berada di Putrajaya harus bersedia mengambil pengajaran daripada ekonomi pasaran sosial, model yang menekankan pasaran dengan keseimbangan sosial.”

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri walaupun ada tekanan daripada Umno dan parti pembangkang. Beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September untuk menguji sokongan majoriti terhadapnya.

Ahli Parlimen pembangkang membantah keputusan ini, sebaliknya mencabar beliau untuk melakukannya bulan ini.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/05/keputusan-buat-undi-percaya-pada-september-jejas-perniagaan-kata-ahli-ekonomi/

BACA JUGA : Gempar !!! Ismail Sabri bakal dipecat?