Dua kemungkinan akan berlaku jika titah Agong tak dilaksana

Dua kemungkinan akan berlaku jika titah Agong tak dilaksana

Dua kemungkinan boleh berlaku jika titah Agong tidak dilaksanakan. Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin perlu diikuti dan disegerakan oleh kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, dua kemungkinan boleh berlaku sekiranya titah baginda tidak dilaksanakan segera iaitu Al-Sultan Abdullah boleh memilih kerajaan baru atau pemerintahan negara diketuai tentera.

“Pelantikan Perdana Menteri adalah atas kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam keadaan sekarang (darurat), baginda sudah bertitah supaya parlimen dibuka dan arahan itu perlu diikuti.

“Jika tidak ikut, selain bubar kerajaan sekarang, kita boleh adakan pemerintahan tentera kerana baginda selaku Ketua Turus Tentera negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik buat negara bagi mengelak ekonomi merudum dan pelabur lari berikutan ketidakstabilan politik di Malaysia.

“Perdana Menteri perlu segera melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong kerana baginda sudah bertitah supaya Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.

“Jika Perdana Menteri tidak mahu membuka Parlimen, akan berlaku pertentangan krisis perlembagaan antara Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan,” katanya.

Ramlah yang juga pakar sejarah berkata, selain itu, Majlis Raja-Raja sudah bersidang dan membuat keputusan supaya Parlimen dibuka dengan segera.

“Baginda sudah mengeluarkan dua kenyataan sama bermaksud perkara ini perlu diambil serius,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan sebelum ini berkata, pembukaan sidang Parlimen bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

“Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri lapan Raja-Raja Melayu, berlangsung di Istana Negara, selesai kira-kira jam 7 malam, Rabu lalu selepas berlangsung hampir 4 jam.

Ia adalah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/719986/dua-kemungkinan-jika-titah-yang-di-pertuan-agong-tidak-dilaksanakan