Dua Adun Dap sertai Bersatu, BN Perak tidak terkesan

Dua Adun Dap sertai Bersatu, BN Perak tidak terkesan

Barisan Nasional (BN) Perak tidak terkesan dengan keputusan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebagai sebuah yang mengamalkan sistem demokrasi, ia merupakan pilihan dua bekas pemimpin DAP itu untuk menentukan kecenderungan sokongan mereka.

Beliau berkata, tumpuannya kini lebih kepada pembangunan negeri.

“Tiada sebarang kesan. Malaysia ini negara demokrasi yang bebas buat pilihan. Sekarang ini hanya fokus membangunkan negeri.

“Lain-lain kita tunggu tiba masa pilihan raya. Kita tengoklah bagaimana nanti (sokongan rakyat),” katanya ketika ditemui pada program Gotong-Royong Bersama Menteri Besar Perak di Rumah Pangsa Conolly, Jalan Pasir Puteh di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Pada Jumaat, Bersatu Perak mengesahkan ADUN Buntong, S Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sebelum ini memenangi kerusi DAP atas tiket Pakatan Harapan (PH) telah menyertai parti itu.

Sivasubramaniam pada 26 Jun tahun lalu menyertai parti Gerakan selepas meninggalkan DAP berikutan pertukaran kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN), manakala Paul Yong pula menjadi ADUN bebas selepas keluar dari DAP bersama-sama Sivasubramaniam.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127283/BERITA/Politik/Lompat-parti-BN-Perak-tidak-terkesan-fokus-bangunkan-negeri