Dr Dzulkefly tampil perjelas kekeliruan yang timbul dalam sidang media semalam

Dr Dzulkefly tampil perjelas kekeliruan yang timbul dalam sidang media semalam

Saya mendapati pada semalam (19 Mei 2021), beberapa portal berita telah menyiarkan beberapa posting pelaporan Sidang Media Khas saya bersama-sama YB Dr Siti Mariah Mahmud yang saya sifatkan ‘tersasar’ daripada mesej sebenar yang ingin disampaikan.

Beberapa editorial yang saya telah hubungi kemudiannya mengakui kesilapan pelaporan berkenaan dan telah bertindak untuk mengemaskini laporan yang telah disiarkan.

Saya hargai keterbukaan rakan-rakan media menerima pandangan dan teguran yang disampaikan sekali gus mengambil langkah penambahbaikan terhadap berita yang telah tersiar lebih awal.

Saya berterima kasih kepada beberapa portal berita yang telah mengambil langkah pembetulan terhadap tajuk/kenyataan yang telah dimuat turun antara lainnya adalah BERNAMA TV, ASTRO AWANI, THE VIBES dan FREE MALAYSIA TODAY (FMT).

• FMT –https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/05/19/selangor-govt-against-a-full-blown-mco/

• AWANI – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lockdown-selangor-laporan-berkait-dr-dzulkefly-separa-tepat-nyawa-lebih-utama-mb-selangor-298776

• BERNAMA TV – https://www.facebook.com/167047123315520/posts/4285234068163451/?d=n (laporan lama)

• THE VIBES – https://www.thevibes.com/articles/news/27923/sgor-not-worst-hit-state-by-covid-19-dzulkefly

Selain itu, tindakan pihak-pihak lain menularkan maklumat/berita yang salah, adalah amat tidak wajar dan boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merumuskan pendirian STFC berkenaan keadaan Covid-19 pandemik di Selangor kini. Jika Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP ke atas mana-mana Kawasan:-
i. Penguatkuasaan PKP mestilah berprinsipkan bukti saintifik dan epidemiologi yang telus.

ii. Surveilan berkala / ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag yang pantas bagi masyarakat , hendaklah dilaksanakan dan dilaksana oleh kesemua pihak (agensi KKM, agensi Kerajaan Negeri, dan perkhidmatan kesihatan swasta) bagi tujuan mengekang penularan dengan pantas.

iii. Pengurusan kes-kes Covid-19 di peringkat masyarakat / kesihatan primer diperkukuh dan dikemaskan secara digital; bagi mengurangkan beban kerja Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik-klinik Kesihatan KKM , dan juga kakitangan perubatan di lapangan.

iv. Mengoptimakan dan mengkhusukan penggunaan katil-katil (DAN KAKITANGAN) yang terhad di PKRC MAEPS, Hospital-hospital rujukan dan hybrid, dan terutamanya – sumber ICU yang terhad.

v. Kakitangan sokongan program PICK di Negeri Selangor ditambah melalui penyertaan perkhidmatan swasta.

vi. Komunikasi risiko dan maklumat yang telus, saintifik, dan tidak berpandukan emosi dan sifat populist.

vii. Pelan sokongan sosio-ekonomi sepanjang tempoh PKP.

viii. KPI dan matriks keputusan yang jelas, bila dan bagaimana PKP ini boleh ditamatkan.

Saya, mewakili STFC akan terus membuat penjelasan dari masa ke masa tentang strategi komplimentari kami bagi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih efektif, sekiranya dikenakan ke atas Selangor oleh Kerajaan Persekutuan menerusi MKN, dengan pelbagai pendekatan baru yang khusus agar rakyat Selangor tidak sekali lagi mengulangi derita akibat kegagalan kolektif negara untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan kita semasa tempoh-tempoh PKP yang lepas.

YB DS DR DZULKEFLY AHMAD
PENGERUSI SELANGOR TASK FORCE COVID19 (STFC)
20 MEI 2021

KENYATAAN MEDIA SALAH LAPOR SIDANG MEDIA KHAS 200521_04