Dipenjara 5 tahun kerana miliki ekor ikan pari

Seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu ekor ikan pari pada Isnin lalu.

Tertuduh, Abdul Hallim Samsuddin,26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu satu ekor pari berukuran kira-kira 114 sentimeter tanpa maksud yang sah.

tahun

Ekor ikan pari yang disimpan di dalam poket seluar tertuduh ketika ditahan polis pada Isnin lalu.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di kawasan semak, tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat dekat Tanah Merah kira-kira pukul 2 petang pada 26 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon agar mahkamah menetapkan satu hukuman yang setimpal kerana tertuduh memiliki senjata yang boleh menyebabkan kecederaan di tempat awam.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima tahun bermula daripada tarikh tangkapan dan satu sebatan.

Mengikut fakta kes, satu ekor ikan pari itu dijumpai dalam poket seluar tertuduh ketika anggota polis menjalankan serbuan di kawasan tepi Sungai Kelantan pada 26 Julai lalu.

Ketika itu, tertuduh yang berada di dalam sebuah kereta bersama seorang rakan telah bertindak melarikan diri, namun anggota polis berjaya menahan lelaki itu sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badannya.

Tertuduh juga gagal mengemukakan maksud yang sah mengenai sebab dia memiliki satu ekor ikan pari itu pada hari kejadian.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/01/padah-miliki-ekor-ikan-pari/

BACA JUGA : Belut masuk dalam perut melalui dubur