Degil !!! Sanggup potong kawad berduri PKPD untuk bersiar-siar

Polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia selepas bertindak memotong kawat duri di laluan tikus sempadan Ulu Bernam- Tanjung Malim, Kampung Lambak untuk merentas negeri dan bersiar-siar.

Ketua Polis Daerah Muallim, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, perbuatan tiga lelaki itu dikesan sepasukan polis yang menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19 di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Bernam Timur itu pada 2.20 petang semalam.

“Ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 53 tahun itu mengaku memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk merentas dari Changkat Asa, Ulu Bernam ke kawasan itu untuk bersiar-siar,” kata beliau menurut laporan Sinar Harian.

Sulizmie berkata, siasatan awal dijalankan mendapati seorang daripada warga Indonesia berkenaan telah tinggal lebih masa di negara ini, manakala seorang lagi rakannya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Seorang lelaki tempatan yang bersama mereka mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan dadah,” tambah beliau.

Katanya, semua mereka ditahan dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini.

“Mereka ditahan di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas kawat duri serta Seksyen 269 kanun yang sama.

Tambah beliau, satu kompaun bernilai RM5,000 dikeluarkan terhadap lelaki warga tempatan itu manakala dua yang lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/26/3-lelaki-potong-kawat-duri-masuk-kawasan-pkpd-mahu-bersiar-siar/